Peniaga pakaian terpakai didakwa lakukan sumbang mahram terhadap anak kandung

ALOR SETAR – Seorang peniaga pakaian terpakai tidak mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap anak kandungnya yang berusia 18 tahun pada bulan lalu.
Pengakuan tersebut dibuat lelaki berusia 49 tahun itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berkenaan yang mempunyai lima orang anak didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah mereka di Air Hitam, Kubang Pasu pada pukul 9 pagi, 30 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurfatin Mastura Asri memohon agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin memandangkan kes melibatkan mangsa yang merupakan anak kandung sendiri demi keselamatan serta kebajikan mangsa.
Mahkamah kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 8 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ringkasan AI
- Seorang peniaga pakaian terpakai dituduh melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap anak kandungnya yang berusia 18 tahun
- Lelaki berusia 49 tahun itu tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut
- Kejadian didakwa berlaku di rumah mereka di Air Hitam, Kubang Pasu, pada pukul 9 pagi, 30 Oktober lalu
- Tertuduh boleh menghadapi hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan
- Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menyatakan 8 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

