Ahli keluarga mentua didakwa lakukan khianat, cederakan 'Prince Syed'

KLANG - Empat individu keluarga mentua pempengaruh media sosial Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman atau dikenali sebagai "Prince Syed”, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dan mencederakan pempengaruh berkenaan.
Muhammad Syahmi Faiz Ishak, 31, Ishak Saif, 59, Aminah Haniffa, 55, dan Muhammad Ikhwan Alif Ishak, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Syahmi didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) milik isteri pempengaruh itu, Fatin Syazwani Ishak, 27, sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM560 di sebuah kawasan perumahan di Sungai Bertek, Klang pada 2 November lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ishak, Aminah dan Muhammad Ikhwan pula didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Syed Muhammad Shah Hasif, 33, di tempat dan tarikh sama.
Pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi tidak menawarkan jaminan kepada Muhammad Syahmi manakala tiga tertuduh lain ditawarkan jaminan RM4,000 setiap seorang.
Peguam K. Nathiya mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan yang rendah terhadap kesemua anak guamnya.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 terhadap Muhammad Syahmi beserta syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan, manakala tiga lagi tertuduh dibenarkan jaminan RM1,500 setiap seorang.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Januari tahun depan. - Bernama
Ringkasan AI
- Empat individu keluarga mentua pempengaruh media sosial Syed Muhammad Shah Hasif didakwa melakukan perbuatan khianat dan mencederakan
- Muhammad Syahmi Faiz Ishak didakwa memecahkan cermin SUV isteri pempengaruh itu menyebabkan kerugian RM560
- Ishak, Aminah dan Muhammad Ikhwan didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Syed Muhammad Shah Hasif
- Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan jaminan kepada Muhammad Syahmi, tiga tertuduh lain ditawarkan jaminan RM4,000 setiap seorang
- Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 untuk Muhammad Syahmi dan RM1,500 untuk tiga lagi tertuduh, dengan syarat tambahan bagi Muhammad Syahmi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
