'Penduduk bukan anti pembangunan, tetapi cadangan dua menara terlalu padat'- KJ

Sesi Libat Urus Penduduk Bukit Damansara bersama DBKL diadakan di Pusat Komuniti Bukit Damansara pada Jumaat. Gambar kecil: Khairy
Sesi Libat Urus Penduduk Bukit Damansara bersama DBKL diadakan di Pusat Komuniti Bukit Damansara pada Jumaat. Gambar kecil: Khairy
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penduduk Bukit Damansara tidak pernah menolak pembangunan di kawasan itu namun menyifatkan cadangan pembangunan semula di tapak Wisma Damansara dengan nisbah plot 1:9.6 terlalu padat dan dibimbangi akan memburukkan lagi kesesakan trafik sedia ada.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penduduk hanya membantah projek yang tidak mengambil kira kemampuan infrastruktur, terutama melibatkan laluan kritikal seperti Jalan Semantan, yang kini menjadi nadi perhubungan utama antara Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

“Kami penduduk Bukit Damansara tidak pernah membantah pembangunan. Banyak sahaja projek yang telah dilaksanakan.

“Dulu kami pernah membantah projek Pavilion kerana kami risau infrastruktur dan jalan di sini tidak mampu menampung kesesakan yang dibawa oleh projek-projek baharu seperti itu,” katanya.

Khairy, yang juga penduduk kawasan berkenaan berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus Penduduk Bukit Damansara bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pusat Komuniti Bukit Damansara di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Damansara, Datuk Ahmad Suffian Abdul Majid; Presiden Persatuan Penduduk Setia Kasih Bukit Damansara, Zuhairah Ali dan bekas Penolong Pengarah Bahagian Industri MITI, Datuk Bhupat Rai.

Khairy berkata, cadangan pembangunan dua menara setinggi 60 tingkat di atas tapak Wisma Damansara menimbulkan kebimbangan besar kerana Jalan Semantan bukan sahaja digunakan penduduk setempat, malah menjadi laluan utama ribuan pengguna yang berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

“Jalan Semantan ialah sebahagian daripada sistem jalan utama yang menghubungkan KL dan PJ. Ramai yang bekerja di PJ menggunakan jalan ini dari KL dan sebaliknya.

“Kami telah tunjukkan video bagaimana kesesakan yang berlaku sekarang. Jika pembangunan ini diteruskan dengan kepadatan yang diminta, iaitu nisbah plot 1:9.6, kami yakin Jalan Semantan tidak lagi boleh digunakan dengan selesa,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, keadaan trafik di laluan tersebut sudah pun sesak pada masa ini dan pembangunan berskala besar akan hanya memburukkan lagi situasi, termasuk menambah beban setara 80 peratus keluasan KLCC, seperti yang dibentangkan dalam sesi tersebut.

“Itulah isunya. Bukan kami menolak pembangunan, tetapi kami membantah cadangan yang dikemukakan ini kerana ia terlalu padat dan terlalu besar,” tambahnya.

Sesi dialog antara penduduk dan pihak DBKL itu memberi peluang kepada penduduk untuk mengemukakan bantahan rasmi serta mendapatkan penjelasan lanjut berhubung implikasi pembangunan terhadap aliran trafik, kapasiti infrastruktur dan keselamatan kawasan perumahan.

Ringkasan AI

  • Penduduk Bukit Damansara bimbang pembangunan semula di tapak Wisma Damansara dengan nisbah plot 1:9.6 akan memburukkan kesesakan trafik
  • Khairy Jamaluddin menyatakan penduduk tidak menolak pembangunan tetapi membantah projek yang melebihi kapasiti infrastruktur seperti Jalan Semantan
  • Cadangan pembangunan dua menara setinggi 60 tingkat di tapak Wisma Damansara meningkatkan kebimbangan terhadap kesesakan laluan utama
  • Keadaan trafik yang sudah sesak diperburuk dengan pembangunan yang dapat menambah beban setara 80 peratus keluasan KLCC
  • Sesi dialog antara penduduk dan DBKL diadakan untuk mengemukakan bantahan rasmi dan mendapatkan penjelasan tentang implikasi pembangunan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!