Dadah, ketum RM10.3 juta dilupus, polis sangkal dakwaan jual semula barang rampasan

Shazeli (tengah) dalam sidang akhbar pelupusan dadah pada Jumaat. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Shazeli (tengah) dalam sidang akhbar pelupusan dadah pada Jumaat. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor melupuskan dadah dan ketum bernilai RM10.3 juta pada Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, jumlah itu meliputi 596.2 kilogram dan 2,744 liter campuran pelbagai jenis dadah yang telah selesai proses perbicaraan di mahkamah bagi tempoh tahun 2020 hingga 2025.

"Jenis dadah yang dilupuskan ialah ganja seberat 379.5 kilogram (kg), syabu (114 kg), serbuk ekstasi (27 kg), MDMA (18.5 kg), heroin (16.5 kg), serbuk disyaki dadah (6.5 kg), erimin 5 (3 kg), ketamin (2.5 kg), pil ekstasi (2.2 kg), cecair disyaki dadah (1,950 liter) serta kodein (4 liter).

"Daun ketum pula seberat 26.5kg serta air ketum 790 liter," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.

Beliau berkata, ini sekali gus menyangkal dakwaan tidak berasas mana-mana pihak yang menuduh polis menjual semula atau melepaskan dadah yang dirampas ke pasaran.

Jelasnya, tuduhan terbabit ialah tidak benar dan menjejaskan imej serta kepercayaan terhadap pasukan keselamatan yang komited memerangi jenayah narkotik.

Dalam pada itu, Shazeli berkata, pada tahun ini setakat Oktober, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor telah membuka 30,214 kertas siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Racun 1952 dengan jumlah tangkapan 34,010 orang.

"Daripada jumlah itu, 775 individu merupakan pengedar dadah.

"Selain itu, JSJN Selangor turut melaksanakan tindakan pencegahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 dengan tangkapan 102 orang yang terlibat dalam sindiket pengedaran," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tong berisi dadah yang akan dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan selepas selesai proses perbicaraan mahkamah. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Tong berisi dadah yang akan dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan selepas selesai proses perbicaraan mahkamah. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Tambahnya, dalam usaha melumpuhkan rangkaian sindiket dadah, sitaan pelbagai jenis aset dan sumber kewangan dianggarkan bernilai RM18.32 juta telah dilaksanakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Katanya lagi, sebanyak 12,178 kertas siasatan bagi tempoh 1995 hingga 2019 yang telah selesai proses perbicaraan di mahkamah juga akan dilupuskan sebagai langkah pengurusan rekod yang lebih teratur dan patuh prosedur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!