Nikmati lauk kampung sambil rendam kaki

Antara pengunjung yang menjamu selera sambil mencari ketenangan di aliran air sungai di Warung Sungai Berakir, Kampung Tapah, Hulu Terengganu.
Antara pengunjung yang menjamu selera sambil mencari ketenangan di aliran air sungai di Warung Sungai Berakir, Kampung Tapah, Hulu Terengganu.
A
A
A

HULU TERENGGANU – Nikmat menjamu selera sambil merendam kaki di aliran sungai yang jernih dan dingin dengan ditemani kehijauan alam semula jadi menjadikan Warung Sungai Berakir di Kampung Tapah di sini antara lokasi baharu tumpuan pengunjung untuk mencari ketenangan sambil menjamu selera.

Warung unik berkonsepkan makan dalam sungai yang mula beroperasi sejak 2 Jun lalu terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar Kuala Berang.

Walaupun baru empat bulan beroperasi, warung milik pasangan suami isteri, Nasiruddin Mohd, 34, dan Nur Jannah Anuar, 30, kini menjadi sebutan ramai kerana keunikan konsep dan suasana semula jadinya yang mendamaikan.

Menurut Nasiruddin, idea pembukaan warung itu tercetus selepas beliau pada awalnya merancang membangunkan kawasan berkenaan sebagai tapak perkhemahan.

“Selepas berbincang dengan isteri, kami ubah rancangan dan jadikan kawasan ini warung berkonsepkan makan dalam sungai kerana ia masih baharu di Terengganu.

“Setahu saya, Warung Sungai Berakir Kampung Tapah adalah lokasi pertama di negeri ini yang menampilkan konsep sebegini,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, nama Warung Sungai Berakir diambil sempena nama anak sungai di situ, yang dalam dialek tempatan disebut ‘berakir’ iaitu berasal daripada perkataan berakhir kerana kawasan itu terletak di hujung aliran sungai.

Menariknya, hanya di kawasan warung ini terdapat hamparan batu-batu sungai yang sesuai untuk pelanggan duduk dan menikmati hidangan, manakala bahagian lain sungai lebih berpasir dan bertanah.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian daripada menu yang disediakan di Warung Sungai Berakir, Kampung Tapah, Hulu Terengganu.
Sebahagian daripada menu yang disediakan di Warung Sungai Berakir, Kampung Tapah, Hulu Terengganu.

“Warung ini dibuka setiap hari kecuali Rabu. Waktu operasi bermula jam 10.30 pagi hingga 4.30 petang.

“Di sini kita menawarkan lebih 20 jenis lauk pauk kampung secara layan diri termasuk ulam-ulaman, sambal serta pelbagai jenis budu sebagai pelengkap hidangan.

“Menu paling istimewa dan menjadi tarikan utama ialah ikan baung masak tempoyak, dijual antara RM7 hingga RM15 seketul bergantung pada saiz dan bahagian ikan,” katanya.

Jelas Nasiruddin, resipi yang disediakan di warung tersebut merupakan resipi warisan turun-temurun keluarganya.

“Pengunjung juga boleh menikmati lauk lain seperti ikan tilapia goreng pada harga RM12 hingga RM15 dan ikan kerisi goreng pada harga RM7 hingga RM8 bergantung kepada harga pasaran semasa.

"Selain itu, terdapat juga minuman yang disediakan antaranya teh ‘o’ ais, sirap ais dan sirap bandung,” ujarnya lagi.

Nasiruddin (kiri) dan Nur Jannah menunjukkan antara hidangan yang disediakan di Warung Sungai Berakir di Kampung Tapah, Hulu Terengganu.
Nasiruddin (kiri) dan Nur Jannah menunjukkan antara hidangan yang disediakan di Warung Sungai Berakir di Kampung Tapah, Hulu Terengganu.

Pasangan itu kini dibantu antara lima hingga 13 pekerja, bergantung kepada hari, dengan jumlah pelanggan yang meningkat terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, pihaknya sentiasa berusaha menambah baik kemudahan di warung berkenaan termasuk menyediakan tempat letak kenderaan, tandas serta ruang persalinan bagi keselesaan pengunjung.

Bagi memastikan keselamatan pengunjung, katanya, warung tersebut akan ditutup sepanjang musim tengkujuh.

“Kami akan menutup operasi sepanjang musim tengkujuh kerana faktor keselamatan memandangkan paras air sungai meningkat ketika itu,” ujarnya.

Menariknya, lokasi warung ini turut sesuai untuk aktiviti santai keluarga atau rakan-rakan kerana aliran airnya cetek, jernih dan bersih.

Dengan gabungan suasana kampung, hidangan tradisional dan pengalaman menjamu selera dalam sungai, Warung Sungai Berakir Kampung Tapah sememangnya destinasi istimewa yang wajib dikunjungi jika anda ke Hulu Terengganu.

“Kami sentiasa pastikan kebersihan sungai sentiasa dijaga. Pelanggan juga diingatkan supaya tidak membuang sampah ke dalam sungai kerana kita tidak mahu ia tercemar,” katanya.

Ringkasan AI

  • Warung Sungai Berakir di Kampung Tapah, Hulu Terengganu menawarkan pengalaman unik makan dalam sungai dengan suasana alam semula jadi
  • Beroperasi sejak 2 Jun, warung ini menjadi tumpuan kerana konsep dan suasana mendamaikan
  • Idea pembukaan warung adalah ubah rancang daripada tapak perkhemahan menjadi makan dalam sungai yang pertama di Terengganu
  • Menawarkan lebih 20 jenis lauk pauk kampung dan istimewa ikan baung masak tempoyak
  • Kemudahan tambahan termasuk tempat letak kenderaan, tandas, dan ruang persalinan untuk keselesaan pengunjung,
  • Ditutup semasa musim tengkujuh demi keselamatan perngunjung

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!