Pemuda UMNO Terengganu nafi anjur demonstrasi bantah kerajaan negeri rampas tanah Orang Asli

KUALA TERENGGANU – Pemuda UMNO Terengganu menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mereka dalam sebarang penganjuran demonstrasi seperti ditularkan menerusi akaun media sosial dikenali sebagai Gema Biru.
Ketua Pemudanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, maklumat yang disebarkan oleh akaun tersebut adalah palsu dan tidak mewakili pendirian rasmi UMNO serta sayap Pemuda di negeri ini.
Menurutnya, akaun tersebut telah beberapa kali dilaporkan kepada pihak berwajib kerana didakwa menggunakan nama dan sentimen politik tertentu untuk mengelirukan orang ramai.
"Ini adalah fitnah jahat yang cuba menangguk di air yang keruh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Pemuda UMNO Terengganu tidak pernah menganjurkan atau terlibat dalam sebarang demonstrasi seperti yang didakwa," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat Terengganu dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh propaganda yang disebarkan melalui akaun palsu berkenaan.
Jelas Tengku Haphiz, pihaknya percaya isu melibatkan hak rakyat, termasuk berkaitan tanah Orang Asli, sedang diuruskan sebaik mungkin oleh Kerajaan Terengganu
"Setiap rakyat mempunyai hak yang perlu dihormati dan tidak boleh diabaikan walaupun seinci," katanya.
Sebelum ini, tular poster di media sosial yang mengajak orang ramai berhimpun di hadapan Wisma Darul Iman jam 2.30 petang bagi menyatakan bantahan dan penyerahan memorandum kepada kerajaan negeri berhubung isu dakwaan rampasan tanah Orang Asli di Hutan Simpan Bukit Bauk berhampiran Kampung Durian Mentangau, Dungun
Sebelum ini, media melaporkan seramai 51 penghuni daripada 14 keluarga Orang Asli di situ berdepan tindakan pengusiran selepas menerima notis daripada Pejabat Tanah Dungun pada 15 Julai tahun lalu untuk mengosongkan tanah kerajaan negeri yang didiami sejak 2016.
Wakil penduduk, Anuar Bakung, 58, berkata, penduduk daripada suku Semoq Beri, Jakun dan Temiar yang mencari rezeki melalui hasil hutan di situ kini hidup dalam kebimbangan mengenai masa depan keluarga masing-masing sekiranya diarahkan berpindah dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, perkara itu disangkal oleh Bekas Pensyarah Antropologi Sosial (Etnografi Orang Asli), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Ramle Abdullah.
Beliau yang berpengalaman selama 40 tahun dengan komuniti Orang Asli berkata, mereka bukan berasal daripada penempatan tetap di situ sebaliknya berpindah sementara dari kampung asal mereka di Sungai Pergam, Kemaman untuk bekerja.
Jelas beliau, kumpulan itu berpindah bersama keluarga ke kawasan tersebut untuk bekerja di sebuah kebun durian Musang King.
Katanya, masyarakat OA berkenaan mempunyai kampung asal yang sah di Sungai Pergam yang telah digazetkan sebagai Tanah Rezab Orang Asli (TROA) dilengkapi dengan hak milik kekal serta geran tanah.
Ringkasan AI
- Pemuda UMNO Terengganu menafikan penglibatan dalam anjuran demonstrasi oleh akaun Gema Biru
- Maklumat yang disebarkan oleh akaun Gema Biru adalah palsu dan tidak mewakili pendirian UMNO Terengganu
- Akaun tersebut telah dilaporkan kepada pihak berwajib atas penggunaan nama untuk mengelirukan
- Rakyat Terengganu dinasihatkan tidak terpengaruh dengan propaganda akaun palsu
- Isu hak rakyat termasuk Orang Asli sedang diuruskan sebaik mungkin oleh Kerajaan Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
