Cek Mek Hot Spring kolam air panas semula jadi kedua ditemui di Terengganu

Razali (tengah) ketika meninjau lokasi penemuan kolam air panas semula jadi di Ladang Cenderung Putera North, Ban Hol, Cerul, Kemaman.
Razali (tengah) ketika meninjau lokasi penemuan kolam air panas semula jadi di Ladang Cenderung Putera North, Ban Hol, Cerul, Kemaman.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Selepas La Hot Spring di Besut, Terengganu bakal membangunkan kolam air panas semula jadi kedua dikenali sebagai Cek Mek Hot Spring, yang ditemui di Ladang Cenderung Putera North, Ban Hol, Cerul, Kemaman.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata lokasi itu akan dibangunkan sebagai satu lagi tarikan baharu pelancongan negeri ini.

Menurutnya, kawasan yang menempatkan lebih 10 mata air itu telah dikenal pasti sejak awal tahun ini dan mempunyai potensi besar untuk dijadikan destinasi eko-pelancongan utama Terengganu.

“Kawasan tersebut terletak kira-kira 20 kilometer dari kawasan hutan dan hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana lokasinya yang jauh di dalam ladang kelapa sawit.

“Kami telah meninjau keunikan kawasan tersebut. Suhu air panas di sini hampir sama dengan La Hot Spring di Hulu Besut, namun keistimewaan Cek Mek Hot Spring ialah kewujudan lebih 10 mata air aktif,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025, di sini pada Khamis.

Razali berkata, taklimat awal telah diberikan kepada Pejabat Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai langkah awal pembangunan.

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang meneliti pihak-pihak berkepentingan termasuk pemegang taruh yang terlibat dalam kawasan tersebut sebelum sebarang pembangunan dimulakan.

“Kita bercadang menjadikan lokasi ini bukan sahaja sebagai kawasan riadah, malah sebagai tempat rawatan kesihatan alternatif yang menggunakan sumber air panas semula jadi,” jelasnya.

Beliau berkata, keindahan semula jadi di lokasi berkenaan memberi suasana yang mendamaikan dan sangat sesuai dijadikan destinasi pelancongan santai.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pembangunan kawasan itu diyakini mampu merangsang ekonomi penduduk setempat melalui peluang keusahawanan dan pekerjaan yang terhasil daripada sektor pelancongan.

Cek Mek Hot Spring dijangka menjadi pelengkap kepada produk pelancongan sedia ada dengan menawarkan pengalaman eko-terapi dan kesegaran alam semula jadi yang unik.

“Insya-ALLAH, dengan perancangan teliti dan kerjasama semua pihak, kawasan ini mampu menjadi mercu tanda pelancongan baharu yang membanggakan negeri Terengganu,” ujarnya.

Untuk rekod, kolam air panas La Hot Spring di Hulu Besut kini merupakan satu-satunya lokasi air panas semula jadi yang popular di Terengganu dan berjaya menarik ribuan pengunjung setiap tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!