Murid sekolah rendah cipta inovasi bahan kitar semula jadi kit solat, payung pintar

SHAH ALAM – Siapa sangka, hasil inovasi luar kotak sekumpulan murid sekolah rendah mampu mengubah bahan-bahan kitar semula yang lazimnya dibuang seperti botol plastik pasar raya dan beg plastik beras kepada produk baharu yang luar biasa.
Lebih mengagumkan, dua ciptaan unik murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan 3, Bandar Baru Bangi berjaya mentransformasikan bahan terbuang menjadi kit solat dan payung pintar, sekali gus menggamit perhatian orang ramai.
Dua produk inovasi berkenaan, yang dinamakan iSujud dan MyTeduh, telah dipertandingkan dalam Pertandingan Inovasi Projek 3R anjuran KDEB Waste Management sempena Karnival Siang Malam Karangkraf di sini, pada Jumaat.

Guru pembimbing, Norazlin Ayob berkata, setiap pasukan menggunakan bahan terbuang sepenuhnya bagi menghasilkan ciptaan yang memenuhi keperluan harian.
Menurutnya, pasukan pertama yang terdiri daripada murid perempuan menghasilkan iSujud, iaitu kit solat mudah alih yang lengkap dengan sejadah kalis air, penunjuk arah kiblat, alat tayamum dan botol semburan.
“Kit ini ringan, mudah dibawa dan direka khas untuk kegunaan luar seperti semasa bermusafir atau berkhemah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, kumpulan murid lelaki SK Jalan 3 yang diketuai oleh Muhammad Khabir Norisham, 11, tampil dengan MyTeduh, iaitu payung inovatif yang dilengkapi kipas mini, lampu LED serta pemegang bebas tangan menggunakan struktur hanger.
“Payung ini sesuai untuk cuaca panas dan hujan. Ia diperbuat daripada plastik terbuang, dengan kos keseluruhan kurang RM5,” jelasnya.
Peserta iSujud, Nur Aufa Amani Sunarto, 12, pula berkata, dia berasa bangga dapat menghasilkan produk yang boleh memberi manfaat kepada orang lain.

“Kami nak bantu orang supaya tiada alasan untuk tinggalkan solat, walaupun ketika dalam perjalanan,” katanya.
Pertandingan tersebut disertai 12 sekolah rendah sekitar Lembah Klang dan Putrajaya, dengan setiap kumpulan diberi masa kira-kira empat minggu untuk menyiapkan projek berasaskan konsep 3R iaitu reduce, reuse dan recycle.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
