Rumah inap di Terengganu diserbu selepas pengumuman tarikh RXZ Members 8.0

KUALA TERENGGANU – Rumah inap desa di sekitar Terengganu mula diserbu peminat motosikal selepas tarikh rasmi acara RXZ Members 8.0 diumumkan, yang dijadual berlangsung pada 31 Julai hingga 1 Ogos di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.
Pengerusi Homestay dan KampungStay Negeri Terengganu, Md Azmi A Aziz berkata, pengusaha inap desa di negeri ini menerima lonjakan permintaan dalam tempoh 24 jam selepas pengumuman rasmi acara berkenaan dibuat pada Sabtu lalu.
Menurut beliau, fenomena itu telah berulang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya dalam kalangan peminat aktiviti permotoran yang tidak mahu terlepas menyertai acara tahunan tersebut.
“Setiap kali RXZ Members dianjurkan, rumah inap desa tidak mencukupi sehingga berlaku permintaan berlebihan yang kami tidak mampu penuhi.
“Dalam hal ini, penyewa juga perlu bertanggungjawab kerana setiap inap desa mempunyai had bilangan penghuni,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Md Azmi turut memaklumkan bahawa peserta lama kebiasaannya menempah lebih awal melalui pemilik inap desa yang sama, berdasarkan pengalaman mereka menyertai edisi terdahulu.
Bagaimanapun, peserta baharu yang baru pertama kali menyertai acara ini mungkin sukar mendapatkan penginapan kerana kebanyakan inap desa telah ditempah lebih awal.
Salah seorang pengusaha inap desa, Athirah Hanim Mohammad, 30, berkata, dua unit inap desa miliknya masing-masing di Manir dan Gong Badak habis ditempah tidak sampai sehari selepas pengumuman dibuat.
“Saya terkejut kerana tempahan penuh dengan begitu cepat. Ramai penyewa maklumkan mereka tidak mahu ambil risiko jika tiada tempat untuk bermalam.
“Sehingga hari ini, saya masih menerima banyak panggilan daripada individu yang sedang mencari inap desa,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zulkifli Harun, 55, pula berkata, empat rumah inap miliknya di sekitar Kuala Terengganu telah ditempah lebih awal oleh kumpulan peminat RXZ sejak tahun lalu.
“Kebetulan tarikh yang diumumkan masih kosong dalam sistem saya, jadi memang rezeki mereka dapat menginap di rumah saya,” katanya.
Menariknya, rumah inap yang terletak jauh dari lokasi acara juga mendapat tempahan.
Pemilik inap desa di Besut, Iqbal Zulkefli, 38, berkata beliau tidak menyangka kawasannya turut menjadi pilihan.
“Saya rasa mungkin semua inap desa di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sudah penuh, jadi Besut pun jadi pilihan mereka,” ujarnya.
Acara RXZ Members 8.0 dijangka menghimpunkan ratusan ribu peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara, sekali gus memberi limpahan ekonomi awal kepada pengusaha penginapan dan sektor pelancongan di Terengganu.
Untuk rekod, RXZ Members 7.0 tahun lalu menyaksikan lebih 100,000 peminat motosikal legenda itu berhimpun di lokasi yang sama.
Ringkasan AI
- Rumah inap desa di Terengganu diserbu selepas pengumuman RXZ Members 8.0
- Pengusaha penginapan di Terengganu alami peningkatan permintaan mendadak
- Setiap penganjuran RXZ Members, rumah inap desa sering tidak mencukupi
- Peserta lama biasanya menempah inap desa lebih awal
- Himpunan RXZ Members dijangka berikan limpahan ekonomi kepada sektor penginapan dan pelancongan di Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
