Isu Kampung Sungai Baru: Akmal cadang rumah baharu hanya untuk bumiputera

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mempertimbangkan cadangan bahawa segala rumah yang dibangunkan di Kampung Sungai Baru hanya boleh dibeli oleh golongan bumiputera.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berpandangan, perkara itu wajar diketengahkan memandangkan tanah asal adalah milik bumiputera.
Menurutnya, kediaman lebih baik dapat didiami penduduk asal, dalam masa sama tanah bumiputera juga terjaga.
"Dalam isu pembangunan di Kampung Sungai Baru ini kita mendesak kerajaan agar semua rumah yang dibangunkan itu hanya boleh dibeli oleh bumiputera memandangkan tanah asal adalah tanah bumiputera.
"Jika rumah tersebut tidak dapat dibeli oleh bumiputera, kerajaan melalui agensi seperti UDA Holdings Berhad (UDA) perlu membeli dan membuat sewaan secara sewa beli kepada kaum bumiputera.
"Ini bukan masa untuk mencari siapa salah, tetapi solusi untuk kepentingan rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kekecohan tercetus apabila sekumpulan penduduk enggan memberi kerjasama semasa operasi pengosongan dijalankan di beberapa rumah di Kampung Sungai Baru.
Dalam insiden berkenaan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di bahagian muka ketika cuba membubarkan penduduk yang merempuh kawalan polis untuk memasuki kawasan operasi.
Lokasi sekitar kampung terbabit dikawal ketat polis seawal jam 7 pagi, manakala anggota keselamatan turut mengarahkan penduduk bersurai bagi memastikan situasi berjalan lancar.
Ringkasan AI
- Kerajaan digesa mempertimbangkan cadangan agar rumah di Kampung Sungai Baru hanya dibeli oleh golongan bumiputera
- Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berpandangan tanah asal milik bumiputera patut diutamakan
- Kediaman untuk penduduk asal memastikan tanah bumiputera terjaga
- Jika bumiputera tidak mampu beli, UDA Holdings Berhad harus membeli dan sewakan kepada bumiputera
- Kekecohan di Kampung Sungai Baru apabila penduduk tidak mahu kosongkan rumah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

