Penemuan kapal purba bakal ubah sejarah Kesultanan Melayu Melaka – Ab Rauf

MELAKA – Penemuan serpihan kapal purba berhampiran Pulau Melaka di sini berpotensi menjadi indikator baharu terhadap fakta sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.
Antara penemuan penting di kawasan itu ialah duit syiling yang dipercayai digunakan sejak zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah, sultan terakhir Melaka sebelum kota itu jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri menyokong penuh usaha eksplorasi dan cari gali bahan sejarah berkenaan, serta sedang dalam proses mewartakan kawasan terbabit sehingga kerja penerokaan diselesaikan.
“Ini merupakan satu kesan sejarah yang cukup bermakna, bukan sahaja untuk negeri Melaka, tetapi juga untuk negara kita.
“Selama ini sejarah kita banyak bergantung kepada catatan lama, namun dengan penemuan ini, kita mungkin dapat meluruskan semula beberapa fakta yang telah diubah atau diseleweng sejak sekian lama,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Tapak Ekskavasi Penyelamatan Kapal Purba Melaka, di sini pada Khamis.

Lawatan tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara serta pakar-pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi memantau dan menilai setiap penemuan agar dapat dijadikan bukti sahih.
Ab Rauf berkata, walaupun kawasan tersebut merupakan tanah milik individu, kerajaan negeri akan berusaha memberikan kelonggaran bagi membolehkan kerja cari gali diteruskan demi kepentingan warisan negara.
Pada masa sama, beliau berharap orang awam tidak menceroboh kawasan berkenaan kerana dibimbangi boleh mengganggu proses penerokaan.
“Artifak yang ditemui akan dipamerkan di Muzium Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan orang ramai boleh ke sana untuk melihat sendiri bahan sejarah yang dijumpai.
“Kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan penuh kepada pasukan penyelidik, selain memohon bantuan daripada kerajaan pusat bagi memastikan misi penerokaan ini dapat dijalankan dengan lancar,” katanya.
Beliau turut yakin penemuan tersebut akan memberi impak besar kepada sektor pelancongan Melaka serta mengangkat kembali nama negeri itu sebagai pusat sejarah dan warisan dunia.
“Penemuan ini pasti menarik perhatian pengkaji dan pelancong dari seluruh dunia untuk datang melihat sendiri bukti-bukti sejarah Kesultanan Melayu Melaka.
“Ini adalah nilai sejarah yang amat berharga, bukan sahaja untuk Melaka, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan penemuan sekeping papan kayu yang dipercayai merupakan serpihan daripada badan sebuah kapal di kawasan tersebut.
Kapal tersebut dipercayai milik golongan bangsawan dan dianggarkan berusia antara 1,200 hingga 1,300 tahun, iaitu jauh lebih awal daripada sejarah rasmi Melaka yang bermula sekitar tahun 1262.
Ringkasan AI
- Penemuan kapal purba angkat sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka
- Serpihan kapal dan duit syiling zaman Sultan Mahmud Shah ditemui berhampiran Pulau Melaka
- Ketua Menteri Melaka menyokong usaha eksplorasi dan mewartakan kawasan penemuan
- Artifak ditemui akan dipamerkan di Muzium Perbadanan Muzium Melaka
- Penemuan ini dijangka dapat menarik perhatian pengkaji dan pelancong serta meningkatkan sektor pelancongan Melaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

