Pensyarah perlu hormat tatacara akademik, tidak ulas isu luar bidang - Zambry

Zambry (empat dari kiri) menyampaikan Anugerah Khas Kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif kepada Dr Dzeti Farhah Mohshim (empat dari kanan) dari Universiti Teknologi Petronas dalam AKRI 2025 di Putrajaya pada Rabu.
Zambry (empat dari kiri) menyampaikan Anugerah Khas Kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif kepada Dr Dzeti Farhah Mohshim (empat dari kanan) dari Universiti Teknologi Petronas dalam AKRI 2025 di Putrajaya pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pensyarah universiti tidak seharusnya mengulas secara terbuka isu yang berada di luar bidang kepakaran mereka, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata dunia akademik mempunyai tatacara dan panduan tersendiri yang perlu dihormati bagi menjaga integriti ilmu serta kredibiliti institusi pengajian tinggi.

"Kita tidak menghalang mereka (pensyarah) memberikan pandangan yang ada kaitan dengan bidang masing-masing, tetapi adalah malang sekiranya mereka ingin bercakap tentang semua perkara yang bukan dalam bidang mereka.

"Jadi inilah yang sering kali dipersoalkan dan seperti yang saya sebutkan berkali-kali supaya memberikan tumpuan kepada bidang kepakaran masing-masing," katanya kepada media selepas majlis penyampaian Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum Dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2025, di sini pada Rabu. 

Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)  bahawa teknik pembinaan kapal tamadun Rom zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu.

Ulasan berkenaan dibuat susulan penemuan sekeping papan kayu yang dipercayai serpihan daripada badan sebuah kapal dari abad ke-13 di Pulau Melaka, Melaka pada Jumaat lepas.

Penemuan rangka kapal kayu gergasi berusia antara 800 hingga 900 tahun itu disahkan antara kapal tertua pernah dijumpai di Malaysia, sekali gus mencatat sejarah dunia arkeologi negara ini.

Zambry berkata para profesor dan pensyarah sepatutnya menjadi rujukan masyarakat dalam bidang yang mereka kuasai, sama seperti doktor pakar yang hanya memberi pandangan dalam kepakaran masing-masing.

"Tetapi sekiranya seorang profesor dalam bidang teknikal ingin bercakap seolah-olah beliau pakar dalam bidang lain yang bukan teknikal, walaupun pandangannya mungkin bernas, tetapi apabila dijadikan sebagai subjek kemahiran diri, perkara itu sering kali dipersoalkan dalam dunia akademik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Zambry dalam ucapannya berkata sistem pendidikan tinggi negara perlu memperkukuh dua teras utama iaitu kurikulum dan pedagogi agar terus relevan dengan perubahan global serta keperluan industri.

Beliau berkata kurikulum bukan sekadar kandungan ilmu tetapi turut menekankan nilai, kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan selaras dengan pelan pendidikan 10 tahun yang telah dirangka untuk membina asas disiplin baharu seperti planetary health dan pendekatan multidisciplinary dalam bidang kejuruteraan.

Zambry berkata sistem pendidikan perlu menyeimbangkan kepakaran bidang dengan pembinaan insan dan menjadikan kemanusiaan sebagai teras dalam pelan tindakan pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata antara cabaran utama ialah ketidakseimbangan akses digital, justeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan semua universiti mesti dilengkapi 100 peratus capaian internet bagi memastikan kesamarataan akses ilmu terutama di politeknik dan kolej komuniti. - Bernama 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Pensyarah universiti tidak seharusnya mengulas isu di luar kepakaran mereka kata Zambry
  • Dunia akademik memiliki tatacara sendiri yang melindungi integriti ilmu dan kredibiliti institusi
  • Zambry mengatakan para pensyarah seharusnya fokus pada bidang kepakaran mereka
  • Beliau menanggapi dakwaan pensyarah UIAM mengenai teknik pembinaan kapal tamadun Rom
  • Sistem pendidikan tinggi perlu memperkukuh kurikulum dan pedagogi untuk kekal relevan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!