Sarjan penjara didakwa tampar pegawai atasan

Tertuduh yang berpangkat sarjan hadir ke mahkamah untuk pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap pegawai atasannya.
Tertuduh yang berpangkat sarjan hadir ke mahkamah untuk pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap pegawai atasannya.
A
A
A

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Seorang sarjan yang bertugas di Penjara Pulau Pinang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap pegawai atasannya pada tahun lalu.

Ahmad Suhaizad Mohd Mansoor, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi di Mahkamah Majistret 2 di sini, pada Jumaat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Megat Razman Mad Nor dengan menampar menggunakan tangan di bahagian tengkuk.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kantin Penjara Pulau Pinang pada jam 7.55 pagi, 1 Jun 2025.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Adilla Zaharuddin.

Lau Shavin menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Sementara itu, dalam rayuannya, Nur Adilla memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

“Tertuduh berusia 47 tahun dan sudah berkahwin. Dia mempunyai tiga orang anak dan bekerja sebagai pegawai penjara berpangkat sarjan dengan pendapatan RM4,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

“Tertuduh juga menanggung ibu dan bapanya. Oleh itu, kami mohon satu jumlah jaminan yang paling minimum,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Majistret turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati mangsa dalam jarak 500 meter sepanjang kes tersebut berlangsung.

“Kamu daripada pihak penjara dan saya nasihatkan supaya dapatkan khidmat YBGK atau jika mampu, lantik peguam.

“Ini kerana, jika ada peguam dan kamu mahu membuat representasi, ia boleh dilakukan melalui peguam,” katanya.

Kes ditangguhkan sehingga 3 Mac depan bagi tujuan serahan dokumen dan lantikan peguam.

Ringkasan AI

  • Seorang pegawai Penjara Pulau Pinang berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap pegawai atasannya
  • Ahmad Suhaizad Mohd Mansoor didakwa menampar Megat Razman Mad Nor di kantin Penjara Pulau Pinang
  • Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000
  • Jaminan ditetapkan sebanyak RM3,000 atas rayuan yang dibuat mengambil kira tanggungan keluarga tertuduh
  • Mahkamah menetapkan syarat jaminan melarang tertuduh mendekati mangsa dalam jarak 500 meter

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!