CCTV jadi 'penyelamat', juruteknik IT lepas, bebas kes cabul wanita

Wei Lun (kanan) hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat dengan ditemani Sivananthan (tengah).
Wei Lun (kanan) hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat dengan ditemani Sivananthan (tengah).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang juruteknik teknologi maklumat (IT) menarik nafas lega apabila Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, melepas dan membebaskannya daripada satu pertuduhan mencabul kehormatan seorang pengurus restoran wanita, dua tahun lalu.

Majistret, Faezahnoor Hassan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap Lim Wei Lun, 32.

Semasa membaca keputusan, beliau berkata, sukar untuk mahkamah bergantung terhadap keterangan mangsa semata-mata termasuk kenyataan dua lagi saksi.

Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, jelas bahawa 'anggota badan' tertuduh tidak bersentuhan dengan mangsa.

"Tertuduh juga berpakaian penuh iaitu baju T seakan warna hitam dengan berseluar jeans, dilihat hanya menggunakan laluan di belakang mangsa, secara terus ke tempat pengisian semula air.

"Rakaman berdurasi enam minit dan 17 saat juga mendedahkan tertuduh dilihat menggunakan laluan sama ketika ketiadaan mangsa di lokasi kejadian, iaitu setelah selesai mengisi air termasuk mengambil makanan dan manisan lain di meja berdekatan atau bersebelahan tempat air.

"Semasa berjalan di belakang pengadu, tertuduh berjalan dalam keadaan menghadap ke hadapan dan bukannya ke arah punggung mangsa," katanya.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, keterangan mangsa tidak selari atau telah bercanggah dengan rakaman CCTV mahupun laporan mangsa sendiri, sekali gus menunjukkan elemen kesalahan itu gagal dibuktikan.

Beliau kemudiannya melepas dan membebaskan tertuduh daripada kes berkenaan, tanpa dipanggil membela diri dan wang jaminan sebanyak RM3,000 dikembalikan kepada tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Pada 28 Mei 2024, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 37 tahun, dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Solaris 3, Mont Kiara pada jam 6 petang 5 Mei 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad sementara lelaki itu diwakili peguam, Sivahnanthan Ragava.

Dalam kes ini, seramai empat saksi pendakwaan termasuk mangsa dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan bermula tahun lalu.

 

Ringkasan AI

  • Seorang juruteknik IT dilepas dari tuduhan mencabul kehormatan pengurus restoran wanita
  • Majistret memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie
  • Rakaman CCTV tidak menunjukkan 'anggota badan' tertuduh bersentuhan dengan mangsa
  • Keterangan mangsa bercanggah dengan rakaman CCTV
  • Wang jamin RM3,000 dikembalikan kepada tertuduh setelah dibebaskan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!