Tabika Kemas 'laku keras' kerana kualiti setaraf swasta– Asna

SEREMBAN – Permohonan kemasukan ke Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Negeri Sembilan mencatatkan permintaan luar biasa, khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar, susulan peningkatan kualiti pendidikan awal kanak-kanak yang ditawarkan institusi berkenaan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin berkata, sambutan tinggi itu diibaratkan seperti ‘pisang goreng panas’ apabila semakin ramai ibu bapa memilih Tabika Kemas berikutan mutu pendidikan yang setaraf institusi swasta, selain penekanan terhadap pelaksanaan Pelan Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang menjadi fokus utama tahun ini.
Menurut beliau, faktor yuran minimum turut menjadikan Tabika Kemas sebagai pilihan utama ibu bapa apabila kadar bayaran hanya antara RM20 hingga RM50 sebulan, selain penyediaan makanan percuma kepada murid.
“Di beberapa kawasan di seluruh negara, ibu bapa hanya perlu membayar yuran serendah RM5 sahaja dengan kemudahan makanan percuma.
“Ini jelas menunjukkan komitmen Kemas dalam memastikan pendidikan awal yang berkualiti dan mampu milik untuk semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau menjelaskan, setiap permohonan kemasukan ke Tabika Kemas akan melalui proses tapisan yang teliti dan keutamaan diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan, tanpa mengamalkan konsep ‘siapa cepat dia dapat’.
Mengulas pembaharuan dalam sistem pendidikan Tabika Kemas, Asna berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pelbagai inisiatif pemerkasaan pendidikan desa.
Menurut ADUN Lenggeng itu, antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk penubuhan Pra-Tahfiz Tabika Kemas, TVET Tahfiz, pendidikan digital merentas desa melalui program Smart Classroom@Kemas serta usaha melahirkan huffaz cilik menerusi program PeliTa@Kemas.
“Lebih 50 peratus Tabika Kemas di seluruh negara akan dinaik taraf bagi memastikan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih berkualiti.
“KKDW juga telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta kepada Kemas bagi tujuan menaik taraf serta membaik pulih tabika dan taska di seluruh negara,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa Tabika Kemas khas untuk kanak-kanak autistik akan mula dibina di setiap negeri mulai tahun ini bagi memastikan akses pendidikan awal yang inklusif dan mampu milik dapat disediakan.
“Penubuhan tabika khusus ini mengambil kira ekosistem pendidikan Kemas yang berkeupayaan menawarkan pendidikan khas, sekali gus memastikan kanak-kanak autistik tidak tercicir daripada sistem pendidikan awal,” katanya sambil berharap pelaksanaan inisiatif tersebut berjalan lancar seperti dirancang.
Mengulas statistik pendaftaran Tabika Kemas, Asna berkata, jumlah kanak-kanak yang mendaftar menunjukkan trend yang konsisten sejak 2021 dengan seramai 205,716 kanak-kanak, meningkat kepada 207,965 orang pada 2022 dan 216,322 orang pada 2023.
Bagaimanapun, jumlah tersebut sedikit menurun kepada 216,029 kanak-kanak pada 2024, diikuti 210,165 orang pada 2025 dan 195,966 kanak-kanak setakat 2026.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas komitmen memastikan Tabika Kemas terus maju dan relevan dengan keperluan semasa.
Asna turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik Tabika Kemas atas bakti dan pengorbanan mereka dalam membentuk generasi awal negara.
Ringkasan AI
- Permohonan kemasukan ke Tabika Kemas di Negeri Sembilan sangat tinggi terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar kerana peningkatan kualiti pendidikan awal kanak-kanak
- Tabika Kemas dijadikan pilihan utama ibu bapa disebabkan mutu pendidikan setara institusi swasta dan yuran minimum antara RM20 hingga RM50 sebulan dengan penyediaan makanan percuma
- Setiap permohonan kemasukan akan melalui proses tapisan yang teliti dengan keutamaan kepada keluarga kurang berkemampuan
- Lebih 50 peratus Tabika Kemas akan dinaik taraf dengan peruntukan RM40 juta bagi memperbaiki kemudahan pendidikan awal
- Tabika Kemas khusus untuk kanak-kanak autistik akan mula dibina di setiap negeri bagi memastikan akses pendidikan awal yang inklusif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


