Peniaga terkejut, ratusan bangkai ikan keli dibuang dalam longkang belakang kedai

DUNGUN – Seorang peniaga terkejut apabila menemui ratusan anak ikan keli telah mati dibuang di dalam longkang belakang premisnya di Limbong, Paka, di sini pada Khamis.
Pemilik kedai makanan, Siti Noraihan Roslan, 34, berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 10.15 pagi ketika beliau ke bahagian belakang kedai untuk mencari kucing peliharaannya.
"Saya terkejut bila tengok longkang belakang kedai penuh dengan anak ikan keli yang telah mati dibuang dan ada antaranya timbul di permukaan air.
"Mulanya saya ingat benda lain, tapi bila tengok dekat, rupanya anak ikan keli yang masih kecil. Memang banyak dan tak dapat kira berapa jumlahnya," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Menurutnya, longkang berkenaan merupakan kawasan bertakung tanpa aliran air dan terletak bersebelahan dapur kedainya yang menjual makanan seperti ayam goreng, makanan barat dan nasi.
"Longkang itu tiada saluran air keluar. Jadi bila ikan-ikan dibuang di situ, ia hanya akan reput dan menyebabkan bau busuk serta mencemarkan persekitaran.
"Saya dah buat laporan kepada Majlis Perbandaran Dungun (MPD) berkenaan kejadian itu dan pihak MPD datang periksa dan membersihkan kawasan itu sekitar jam 2 petang tadi," katanya.
Siti Noraihan berkata, orang ramai diharap lebih peka terhadap kebersihan serta kesan tindakan membuang bahan mentah atau sisa ke dalam longkang.
"Sebelum buang apa-apa, mungkin boleh fikir dahulu dulu kesannya kepada orang lain.
"Longkang belakang ini dekat dengan dapur, kalau berbau busuk memang jejaskan perniagaan kami.
"Saya rasa orang yang buang ni fikir longkang di kedai ini bersambung dengan longkang lebih besar atau sungai," ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang peniaga di Limbong, Paka terkejut menemui ratusan anak ikan keli mati di longkang belakang premisnya
- Penemuan itu dibuat kira-kira jam 10.15 pagi ketika mencari kucing peliharaan
- Longkang tersebut bertakung tanpa aliran air dan terletak bersebelahan dapur kedai makanan yang dimiliki oleh peniaga tersebut
- Siti Noraihan telah membuat laporan kepada Majlis Perbandaran Dungun yang kemudiannya datang membersihkan kawasan tersebut pada jam 2 petang
- Orang ramai diharapkan lebih peka dengan kesan tindakan membuang sisa ke dalam longkang terhadap kebersihan dan persekitaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
