Pengusaha katering didenda RM1,800 hidang ikan keli berlada tercemar

DUNGUN - Seorang pengusaha katering didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Dungun pada Khamis selepas mengaku bersalah menyedia dan menjual makanan tercemar bakteria di kafeteria sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini tahun lalu.
Orang kena saman (OKS), Haswana Mohd Rasani, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.
Haswana yang turut berdepan hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda, didakwa menyedia dan menjual makanan iaitu ikan keli berlada yang sedia untuk dimakan mengandungi pencemaran bakteria Coliform.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 Oktober 2024, antara jam 10.30 pagi hingga 11.15 pagi di premis kafeteria institusi tersebut.
Dia didakwa mengikut Peraturan 39(3) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 397(2) peraturan sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes itu dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Ku Mazuki Ku Ismail dibantu Alias Awang Kechik, manakala OKS diwakili peguam Norhabibah Norulalzahar.
Berdasarkan fakta kes, siasatan dijalankan susulan operasi persampelan makanan oleh Pegawai Kesihatan Daerah Dungun yang membeli lima jenis makanan di premis itu bagi tujuan analisis mikrobiologi.
Hasil analisis yang dijalankan oleh Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan, Klinik Kesihatan Bukit Tunggal mendapati satu daripada sampel iaitu ikan keli berlada mengandungi bakteria melebihi had ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
