Wanita maut, rakan cedera motosikal terbabas dalam longkang

Mayat mangsa cuba dikeluarkan dari dalam longkang di lokasi.
Mayat mangsa cuba dikeluarkan dari dalam longkang di lokasi.
A
A
A

MERSING – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Jalan Ismail berhadapan Taman Laut awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 12.05 tengah malam.

“Siasatan awal mendapati motosikal dan kereta datang dari arah yang sama. Motosikal dipercayai cuba memotong kereta yang sedang membelok ke simpang kanan tetapi gagal lalu melanggar bahagian hadapan kereta sebelum terbabas ke dalam longkang.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal, seorang wanita tempatan berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pembonceng, seorang wanita berusia 23 tahun mengalami kecederaan di paha kiri dan kini dirawat di Hospital Mersing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, pemandu kereta, seorang lelaki berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penguasa Bomba Kanan I Mohd Samsuri Shafai, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.20 tengah malam.

“Dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi pada jam 12.22 tengah malam didapati sebuah motosikal jenis Honda RSX telah terbabas ke dalam longkang. Pemeriksaan lanjut mendapati ia melibatkan dua mangsa wanita.

Artikel Berkaitan:

“Seorang disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.44 tengah malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!