PKR Terengganu nafi terlibat usaha pindahkan Orang Asli ke Durian Mentangau

DUNGUN – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu menafikan sebarang penglibatan parti itu dalam usaha membawa masuk atau menempatkan komuniti Orang Asli ke mana-mana tanah kerajaan negeri termasuk di Kampung Durian Mentangau, di sini.
Ketua Penerangannya, Aiman Wan Alias berkata, dakwaan mengaitkan parti itu dengan isu pemindahan Orang Asli adalah tidak berasas serta mengelirukan orang ramai.
Menurutnya, MPN PKR Terengganu memandang serius situasi yang dihadapi komuniti Orang Asli di Hutan Simpan Bukit Bauk berhampiran Kampung Durian Mentangau di sini dimana seramai 51 individu daripada 14 keluarga kini berdepan arahan pengosongan penempatan.
"Isu ini bukan sekadar soal penguatkuasaan atau status tanah, sebaliknya melibatkan hak hidup, keselamatan dan kebajikan komuniti terpinggir, termasuk kanak-kanak serta warga emas yang bergantung sepenuhnya kepada kawasan tersebut untuk meneruskan kehidupan," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Mengulas dakwaan mengaitkan PKR Terengganu dengan seorang individu tertentu, katanya, individu berkenaan bukan lagi pimpinan parti dan peranannya hanyalah sebagai orang tengah bagi tujuan kebajikan, khususnya membantu komunikasi antara NGO Insaf Malaysia dan komuniti Orang Asli, tanpa sebarang agenda politik atau kepartian.
"Isu Orang Asli bukan isu kepartian. Ia adalah isu maruah manusia dan tanggungjawab bersama.
"PKR Terengganu kekal konsisten memperjuangkan pendekatan berperikemanusiaan dan menolak sebarang usaha memutarbelitkan fakta sehingga mengaburkan penderitaan sebenar komuniti yang terlibat," katanya.
Jelas beliau, sebarang tindakan pengusiran tanpa pelan penempatan semula yang jelas, selamat dan munasabah hanya akan memburukkan keadaan serta mendedahkan komuniti berkenaan kepada risiko kemiskinan, keterasingan dan ketidakpastian yang lebih serius.
Sehubungan itu, katanya pihaknya menggesa kerajaan negeri menangguhkan sebarang tindakan pengusiran dan segera mengadakan rundingan menyeluruh melibatkan wakil komuniti Orang Asal, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pertubuhan masyarakat sivil serta pihak berkepentingan lain bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan panjang secara adil.
"Pendekatan sedemikian bercanggah dengan prinsip keadilan sosial dan nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi teras tadbir urus.
Dalam pada itu, Aiman berkata, PKR Terengganu mengambil beberapa langkah termasuk menggerakkan usaha perundingan bersama wakil komuniti Orang Asal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dan pihak berkepentingan bagi memahami keperluan sebenar komuniti terlibat secara langsung dan berfakta.
Katanya, penglibatan wakil rakyat PKR di peringkat Persekutuan juga akan diselaras bagi membawa isu ini kepada kementerian serta agensi berkaitan termasuk JAKOA, supaya penyelesaian bersifat antara kerajaan dapat dipertimbangkan.
"Kita turut memudah cara kerjasama dengan pertubuhan masyarakat sivil bagi memastikan bantuan kemanusiaan jangka pendek seperti keperluan asas, pendidikan kanak-kanak dan sokongan kesihatan dapat disalurkan secara tersusun dan berterusan," jelasnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan Orang Asli di Durian Mentangau berdepan tindakan pengusiran selepas menerima notis daripada Pejabat Tanah Dungun pada 15 Julai 2025 untuk mengosongkan tanah kerajaan negeri yang didiami sejak 2016.
Wakil penduduk, Anuar Bakung, 58, dilaporkan berkata, penduduk daripada suku Semoq Beri, Jakun dan Temiar yang mencari rezeki melalui hasil hutan di situ kini hidup dalam kebimbangan mengenai masa depan keluarga masing-masing sekiranya diarahkan berpindah dalam tempoh terdekat.
Ringkasan AI
- MPN PKR Terengganu menafikan terlibat dalam isu pemindahan Orang Asli
- Dakwaan terhadap parti itu tidak berasas dan mengelirukan
- Isu memindahkan Orang Asli dikaitkan dengan hak hidup dan kebajikan
- Individu dikaitkan dengan PKR hanya bertindak sebagai orang tengah tanpa agenda politik
- PKR Terengganu meminta kerajaan negeri menangguhkan pengusiran dan mencari penyelesaian bersama stakeholders
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
