Kaji semula sekatan pertukaran anak kapal di pelabuhan

A
A
A

SHAH ALAM - Komuniti Perkapalan Malaysia menggesa kerajaan mengkaji semula sekatan pertukaran anak kapal di seluruh pelabuhan di Malaysia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Moderator Komuniti Perkapalan Malaysia, Ahmad Badri Alwi berkata, gesaan itu dikemukakan susulan ramai kalangan pelaut terutama pelaut Malaysia yang 'terperangkap' di kapal ketika ini disebabkan arahan terbaharu bagi menangani penularan wabak pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, golongan pelaut Malaysia ini sudah berkhidmat berminggu-minggu, malah berbulan-bulan lamanya dan kini terperangkap di atas kapal, manakala sekatan perjalanan darat dan udara pula menyebabkan anak kapal pengganti tidak dapat menaiki kapal (sign-on).

"Sebagai salah satu komponen perkhidmatan utama, pelaut memastikan perkhidmatan pengangkutan laut terus berfungsi untuk menyokong rangkaian bekalan bagi memastikan barangan makanan, bahan api, ubat-ubatan dan pelbagai barangan keperluan diimport dari luar negara dapat tiba dengan selamat ke tanah air.

"Di Malaysia, pergerakan pekerja pelantar minyak tidak terganggu tetapi pertukaran anak kapal offshore support vessel (OSV) yang beroperasi di tempat sama disekat hanya kerana perbezaan keperluan imigresen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh yang demikian, Komuniti Perkapalan Malaysia menyeru pihak berwajib agar melihat kembali isu ini dan membuat keputusan yang sewajarnya.

Selain itu, Komuniti Perkapalan Malaysia turut memohon Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Laut memberi bantuan kewangan sewajarnya kepada pelaut yang tamat kontrak bekerja dan tidak layak memohon bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurutnya, peruntukan itu boleh disalurkan melalui Kumpulan Wang Pusat Pengangkutan Laut (KWPPL) yang sememangnya berfungsi untuk membantu pelaut dalam pelbagai keadaan.

Artikel Berkaitan:

"Majoriti pelaut tidak mendapat gaji bulanan, sebaliknya hanya menerima gaji apabila masih lagi dalam kontrak pekerjaan di kapal.

"Apabila cukup tempoh, mereka akan bercuti untuk suatu tempoh agak panjang kerana sudah berbulan lamanya di kapal. Selain itu, pelaut juga perlu menunggu tempat mereka dikosongkan di kapal untuk tujuan penggiliran kontrak.

"Oleh demikian, ada pelaut yang sudah bercuti di darat sejak Disember 2019 dan dijadualkan semula bekerja pada Mac 2020, namun akibat PKP, mereka tidak dapat memulakan pekerjaan dan golongan ini harus dibantu kerajaan," katanya.