Segamat bergegar lagi, JMG lakukan pemantauan susulan gempa 2.7 magnitud

Penilaian kesan susulan gempa bumi lemah yang berlaku di Segamat dilakukan JMG dengan kerjasama MetMalaysia. - Gambar hiasan
Penilaian kesan susulan gempa bumi lemah yang berlaku di Segamat dilakukan JMG dengan kerjasama MetMalaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk melakukan pemantauan lanjut bagi menilai kesan gempa bumi susulan gegaran terbaharu yang berlaku di Segamat pada malam Isnin.

Menurut JMG, pemantauan itu melibatkan aktiviti seismik dan kajian geologi tempatan termasuk penilaian terhadap struktur bawah permukaan, taburan rekahan batuan, serta kestabilan cerun dan tapak bina.

“Gempa bumi terbaharu di Jementah, Segamat pada jam 7.55 malam Isnin direkodkan berukuran 2.7 magnitud pada skala Richter.

“Hasil semakan menerusi Peta Geologi Malaysia (MyGEMS-JMG) mendapati kawasan kejadian terletak dalam unit geologi Tertier yang terdiri daripada aliran lava serta endapan cekungan benua berusia Tertier lewat, mengandungi batu syal, batu pasir, konglomerat dan lapisan arang minor.

“Ciri-ciri geologi ini menunjukkan sejarah aktiviti gunung berapi purba di kawasan Segamat, khususnya sekitar Jementah dan Batu Badak yang kini dikenal pasti sebagai kawasan volkanik terubah suai (altered volcanics),” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah JMG, kejadian itu bukan yang pertama direkodkan di kawasan berkenaan kerana sebelum ini, gempa berskala 4.1 magnitud turut dikesan berhampiran lokasi sama.

“Kedua-dua kejadian itu berpusat di zon volkanik Tertier Segamat yang memperlihatkan potensi pengaktifan semula tekanan tektonik setempat pada batuan dasar lama akibat penyesuaian semula tekanan kerak bumi.

“Kedudukan pusat gempa terkini hampir bertepatan dengan kejadian gempa berskala 4.1 sebelum ini, menandakan kemungkinan berlakunya aktiviti seismik mikro berulang di sepanjang jalur sesar sama,” jelasnya.

Menurut JMG, gempa bumi lemah itu diklasifikasikan sebagai gempa cetek setempat (local shallow earthquake) dan tidak menimbulkan ancaman besar terhadap keselamatan awam atau struktur bangunan.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, gegaran dapat dirasai di sekitar Segamat dan kawasan berhampiran. Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik serta boleh melaporkan sebarang kesan gegaran melalui MetMalaysia,” katanya lagi.

Orang awam juga boleh mendapatkan maklumat serta paparan lokasi gempa secara interaktif melalui Peta Interaktif Gempa Segamat @ MyGEMS (JMG).

Antara kawasan yang dilaporkan merasai gegaran ialah Kampung Pogoh Tengah, Taman Yayasan, Jalan Seberang Batu Badak, Kampung Gudang Garam, Gemereh, Kampung Paya Dalam, Kampung Tasek, Kampung Gubah, Taman Berjaya Buloh Kasap, Kampung Pogoh dan Paya Pulai.

Sejak Ogos lalu, daerah Segamat dan kawasan sekitar telah merekodkan lebih lima gegaran dengan kekuatan antara 2.5 hingga 4.1 magnitud, termasuk beberapa kejadian di Batu Pahat pada akhir Ogos dan awal September lalu.

Ringkasan AI

  • JMG bekerjasama dengan MetMalaysia untuk kaji kesan gempa bumi susulan di Segamat
  • Gempa bumi terbaru di Jementah, Segamat berukuran 2.7 magnitud
  • Kawasan gempa terletak dalam unit geologi Tertier yang menunjukkan sejarah gunung berapi purba
  • Gempa diklasifikasikan sebagai cetek setempat dan tidak ancam keselamatan awam
  • Lebih lima gegaran direkodkan di Segamat sejak Ogos, kekuatan antara 2.5 hingga 4.1 magnitud

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!