Cat Supermarket buka cawangan tiga tingkat di Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Peminat kucing di Johor dan Singapura kini mempunyai destinasi baharu apabila Cat Supermarket, pasar raya kucing terbesar di Malaysia membuka cawangan terbaharu tiga tingkat di Kempas, Johor Bahru.
Pengasasnya, Datuk Chew Chert Fong berkata, bangunan dengan keluasan 9,000 kaki persegi itu dilengkapi lif dan sistem penghawa dingin sepenuhnya bagi memberikan keselesaan maksimum kepada pelanggan serta haiwan peliharaan mereka.
Jelas beliau, majlis pembukaan rasmi dijadualkan berlangsung pada Khamis ini (23 Oktober) bermula jam 10 pagi dengan pelbagai tawaran istimewa, hadiah eksklusif dan promosi menarik menanti para pengunjung.
“Cat Supermarket menjadi pusat sehenti paling lengkap untuk semua keperluan kucing dengan lebih 10,000 jenis produk di bawah satu bumbung, termasuk makanan, pasir, vitamin, ubat-ubatan, aksesori dan produk penjagaan kesihatan melalui bahagian khas Cat Pharma.
“Selain menawarkan harga ahli dan harga borong kepada pelanggan berdaftar, Cat Supermarket turut memperkenalkan pelbagai keistimewaan kepada pemilik kedai haiwan peliharaan, pusat dandanan (grooming) dan rumah perlindungan kucing (shelter),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, bagi menghargai pelanggan, syarikat itu turut menganjurkan cabutan bertuah bulanan dan tahunan dengan pelbagai hadiah menarik serta acara khas ‘Gaji Week & Rezeki Meow’ yang diadakan pada minggu terakhir dan minggu pertama setiap bulan.
“Setakat ini, Cat Supermarket mempunyai empat cawangan utama iaitu di Bukit Baru (Melaka), Shah Alam, Kota Damansara dan Kempas (Johor Bahru). Perniagaan ini turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.
“Pengiktirafan itu meliputi tiga kategori iaitu Pasar Raya Kucing Terbesar di Malaysia, Paling Banyak Jenis Produk Kucing Di Bawah Satu Bumbung, dan Program CSR Kucing Terbanyak Dimandulkan Dalam Sehari,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, pembukaan cawangan di Johor Bahru menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha mengembangkan komuniti pencinta kucing di negara ini.
“Kami bukan sekadar menjual produk kucing, tetapi mahu membina komuniti pencinta kucing yang positif di Malaysia. Di Cat Supermarket, kami percaya bahawa ‘Bela Kucing, Murah Rezeki’,” katanya.
Cawangan baharu itu menempatkan pelbagai jenama terkenal seperti Royal Canin, Purina, Whiskas, SmartHeart, Happy Cat, Nourish dan Evocat, dengan persekitaran membeli-belah yang luas, moden dan mesra pelanggan.
Ringkasan AI
- Cat Supermarket, pasar raya kucing terbesar di Malaysia, membuka cawangan baru di Kempas, Johor Bahru
- Bangunan ini memiliki keluasan 9,000 kaki persegi dan dilengkapi dengan lif serta sistem penghawa dingin
- Majlis pembukaan menawarkan tawaran istimewa, hadiah eksklusif dan promosi menarik
- Menyediakan lebih dari 10,000 jenis produk kucing termasuk makanan, pasir, vitamin, ubat-ubatan, aksesori, dan produk penjagaan kesihatan
- Memiliki empat cawangan utama dan telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records dalam tiga kategori
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

