ASEAN di landasan tepat capai sasaran pengurangan kemiskinan menjelang 2030

Hanifah Hajar (kiri) ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Ke-15 Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS15) di Melaka hari ini. Foto Bernama
Hanifah Hajar (kiri) ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Ke-15 Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS15) di Melaka hari ini. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Peratus penduduk ASEAN yang hidup di bawah paras garis kemiskinan kebangsaan menurun daripada 13.3 peratus pada 2016 kepada 10.8 peratus pada 2023, sekali gus meletakkan rantau ini di landasan tepat untuk mencapai matlamat pengurangan kemiskinan menjelang 2030.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, meskipun statistik menunjukkan trend penurunan, negara anggota ASEAN perlu mengakui masih terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditangani.

"Jurang pembangunan masih wujud antara negara anggota dan juga di dalam negara masing-masing. Kemiskinan luar bandar, akses terhad kepada pendidikan berkualiti serta keterasingan digital terus menguji komitmen bersama kita untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir.

"Ketidakseimbangan ini memerlukan dasar yang disasarkan dengan tepat, berasaskan data yang kukuh serta melibatkan penyertaan menyeluruh,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Ke-15 Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS15) di sini hari ini.

Program lima hari bertemakan "Advancing ASEAN Through Inclusive Data and Innovation,” turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Dr Mohd Uzir Mahidin dan Pengarah Bahagian Pemantauan Integrasi ASEAN, Bahagian Statistik ASEAN (ASEANStats), Sekretariat ASEAN Dr Ahmad Zafarullah Abdul Jalil.

Hanifah Hajar turut menyeru agar penekanan lebih kukuh diberikan terhadap celik statistik dan kepercayaan awam terhadap data.

"Apabila rakyat memahami dan mempercayai data, mereka akan menjadi peserta aktif dalam membentuk dasar yang memberi kesan kepada kehidupan mereka. Inilah inti pati tadbir urus inklusif,” katanya.

Menurutnya, ASEAN terus menunjukkan daya tahan dan dinamik luar biasa dalam ekonomi global, dengan jumlah dagangan barangan mencecah kira-kira AS$3.56 trilion pada 2023, iaitu lapan peratus daripada jumlah dagangan global walaupun rantau ini hanya merangkumi tiga peratus daripada populasi dunia.

"Ini membuktikan peranan ASEAN yang semakin penting sebagai hab rangkaian pengeluaran, pelaburan dan integrasi rantaian bekalan.

Artikel Berkaitan:

"Kekuatan kita bukan sahaja pada skala, tetapi juga keterbukaan dan keupayaan menyesuaikan diri. Sekitar 78 peratus dagangan ASEAN berlaku dengan rakan di luar rantau ini, mencerminkan keterhubungan mendalam kita dengan ekonomi global,” katanya.

"Dalam masa yang sama, dagangan intra-ASEAN yang menyumbang 22 peratus daripada jumlah keseluruhan terus mencatat pertumbuhan positif, satu petanda kukuh pengukuhan integrasi serantau,” katanya.

Hanifah Hajar berkata, cabaran utama selepas ini ialah memastikan dinamik perdagangan ASEAN diterjemahkan kepada pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

"Ini memerlukan strategi berasaskan data yang menggalakkan akses saksama ke pasaran, memperkukuh penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menyokong pelaksanaan Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN 2025.

"Saya juga menyambut baik inisiatif untuk menubuhkan pusat rujukan sehenti bagi data peringkat ASEAN, sebuah portal bersatu yang menyatukan penunjuk harmonis, metadata, papan pemuka dan set data terbuka merentasi negara anggota.

"Inisiatif ini bukan sekadar pencapaian teknikal, tetapi langkah berani ke arah ketelusan, kebolehcapaian dan perpaduan serantau,” katanya. - Bernama

Ringkasan AI

  • Peratus penduduk ASEAN yang hidup di bawah paras garis kemiskinan kebangsaan menurun dari 13.3 peratus pada 2016 kepada 10.8 peratus pada 2023
  • Jurang pembangunan dan kemiskinan luar bandar antara cabaran utama yang perlu ditangani oleh negara anggota ASEAN
  • Penekanan pada celik statistik dan kepercayaan awam terhadap data dilihat sebagai cara untuk memastikan pembentukan dasar yang inklusif
  • ASEAN menunjukkan pertumbuhan ekonomi dengan jumlah dagangan barangan mencapai kira-kira AS$3.56 trilion pada 2023, menyumbang lapan peratus dari jumlah dagangan global
  • Inisiatif untuk menubuhkan pusat rujukan sehenti bagi data peringkat ASEAN dianggap sebagai langkah penting ke arah ketelusan dan perpaduan serantau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!