Pembantu pegawai kesihatan maut dalam kemalangan empat kenderaan

KUANTAN - Seorang pembantu pegawai kesihatan maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM 26 Jalan Jerantut-Temerloh di Temerloh, pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, Sathiyan Raja Gopal, 43, yang memandu Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Beliau berkata, selain Proton Saga mangsa, kemalangan melibatkan lori treler, Perodua Alza dan Toyota Hilux.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Alza dari arah Temerloh ke Jerantut berhenti untuk membelok ke simpang kanan Kampung Dato’ Shariff Ahmad dilanggar dari belakang oleh treler, menyebabkan kereta itu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung Proton Saga.
"Proton Saga itu juga dilanggar pada bahagian belakang oleh Toyota Hilux dari arah sama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Nasyim berkata, pemandu Perodua Alza Agoes Zaid Haritha Mohamad, 42, cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu treler dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

