Nelayan hilang selepas bot terbalik dilanggar di perairan Pengerang

KOTA TINGGI – Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama seorang pekerjanya terbalik dipercayai akibat dilanggar sebuah bot lain di perairan Pengerang, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada isteri mangsa yang memaklumkan suaminya gagal dihubungi selepas keluar menangkap ikan.
"Bot nelayan jenis fiber yang dinaiki mangsa lelaki warga tempatan berusia 55 tahun bersama seorang pekerja lelaki bukan warganegara berusia 32 tahun dipercayai dirempuh sebuah bot yang masih belum dikenal pasti pemiliknya sebelum terbalik.
“Bertindak atas maklumat diterima, pasukan penyelamat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Polis Marin Wilayah Dua Pengerang digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, hasil pencarian menemukan pekerja mangsa dalam keadaan selamat selepas dijumpai berpaut pada sisa kayu bot oleh pasukan Polis Marin, namun nelayan tempatan berkenaan masih belum ditemui sehingga kini.
"Polis memohon bantuan dan kerjasama nelayan yang berada di sekitar lokasi kejadian agar turut membantu usaha mengesan mangsa yang masih hilang.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-883 7222 atau Pemangku Ketua Polis Balai Pengerang, Sarjan Romeo Usit di talian 011-101 82027," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang nelayan tempatan hilang selepas bot dinaiki terbalik dipercayai dilanggar bot lain di perairan Pengerang
- Isteri mangsa melaporkan suaminya gagal dihubungi selepas keluar menangkap ikan
- Mangsa berusia 55 tahun, dinaiki bersama seorang pekerja bukan warganegara berusia 32 tahun
- Pasukan penyelamat dari APMM dan Polis Marin Wilayah Dua Pengerang digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat
- Pekerja mangsa ditemukan selamat, namun nelayan tempatan masih belum ditemui
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

