Pindah lembu tanpa kebenaran, pemandu lori didenda RM8,000

Muhammad Fauzan (kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Isnin atas dakwaan memindahkan 18 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah JPV Perak, Mei lalu.
Muhammad Fauzan (kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Isnin atas dakwaan memindahkan 18 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah JPV Perak, Mei lalu.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Isnin atas dakwaan memindahkan 18 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, Mei lalu.

Muhammad Fauzan Razali, 27, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kilometer 42, Jalan Kuala Kangsar-Ipoh dalam daerah Kuala Kangsar jam 2 pagi pada 3 Mei 2025.

Mengikut pertuduhan, OKS didakwa telah memindahkan 18 ekor lembu hidup dengan menggunakan sebuah lori tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah JPV Perak atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan di bawah Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi negeri Perak 2008 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) Akta Binatang (pindaan) 2013 (Akta A1452) yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000.

OKS bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf.

Terdahulu, peguam bela, Muhammad Zaem Ab Aziz yang mewakili OKS memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum kerana kesalahan yang dilakukan tidak serius serta tidak melibatkan sebarang kerosakan harta benda atau kecederaan.

Beliau juga memohon agar lori yang digunakan dalam kes itu dikembalikan kepada pemilik asal manakala wang hasil jualan lembu berjumlah RM43,200 pula diserahkan separuh kepada lelaki itu.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin berkata, hukuman sewajarnya perlu dikenakan terhadap OKS kerana kesalahannya bukan perkara remeh sebaliknya penting bagi mengawal penularan penyakit dan keselamatan industri ternakan serta ekonomi negara.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM8,000 dan hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan selain memerintahkan keseluruhan hasil jualan lembu dilucut hak kepada kerajaan Malaysia manakala lori tersebut diserahkan kepada pemilik asal.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang pemandu lori mengaku bersalah memindahkan 18 ekor lembu tanpa kebenaran di Mahkamah Majistret Sungai Siput
  • Didakwa melakukan kesalahan di Kilometer 42, Jalan Kuala Kangsar-Ipoh pada 3 Mei 2025 jam 2 pagi
  • Memindahkan lembu tanpa kebenaran bertulis dari Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak
  • Dikenakan hukuman denda RM8,000 dan penjara lapan bulan jika gagal bayar denda, serta hasil jualan lembu dilucut hak kepada kerajaan
  • Peguam bela memohon hukuman minimum sementara pendakwa menekankan perlunya hukuman sewajarnya untuk kontrol penularan penyakit dan keselamatan industri ternakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!