Bersih 2.0 kutuk tindakan diskriminasi peruntukan pembangkang

Laporan Sinar Harian Online semalam.
Laporan Sinar Harian Online semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor yang mengekang peruntukan RM30,000 kepada sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu bagi menangani kesan wabak koronavirus (Covid-19).

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya kesal ia terjadi hanya selepas beberapa hari kerajaan Persekutuan menarik balik peruntukan kawasan kepada Ahli Parlimen PH.

Menurut kenyataan itu, Bersih 2.0 menggesa semua gabungan/parti yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional atau kerajaan negeri membuang amalan mendiskriminasikan pembangkang dalam peruntukan kawasan dan tidak menggunakan dana awam untuk memancing sokongan parti.

“Amalan keji, tidak beretika dan tidak bermaruah itu bukan sahaja pengkhianatan kepada pengundi, malah juga sikap mabuk kuasa yang berterusan di mana politikus daripada parti kerajaan membelanjakan dana awam seperti harta parti sendiri.

“Pengundi mengharapkan wakil rakyat akan membantu mereka dengan tajaan wang untuk projek infrastruktur kecil atau aktiviti sosial sama ada menggunakan dana kerajaan atau duit mereka sendiri,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sehingga alternatif yang lebih baik dijumpai, Bersih 2.0 menggesa pengurusan dana pembangunan kawasan (DPK) untuk dijadikan sebahagian daripada tugas wakil rakyat secara formal berserta dengan garis panduan, pemantauan dan audit yang teliti untuk mencegah salah guna, pembaziran dan korupsi.

Ia juga bagi membolehkan pengundi meminta bantuan dana tanpa ada perasaan terhutang budi kepada wakil rakyat.

Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan Bersih 2.0 turut kesal apabila Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor cuba untuk memberi justifikasi amalan diskriminatif mereka dengan mengatakan sebagaimana amalan biasa dalam DPK, peruntukan itu diberikan kepada semua kawasan, namun peruntukan kepada pembangkang akan diuruskan oleh Penyelaras DUN yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, dalil yang tidak masuk akal terbabit tidak lain tidak bukan satu pengakuan kepada angkara untuk melembagakan klientelisme, memaksa pengundi menjadi klien (anak buah) kepada politikus.

“Apabila dana kerajaan untuk kawasan pembangkang diuruskan oleh ejen kerajaan yang tak dipilih, ia secara terbuka memaksa pengundi terutamanya mereka yang memilih pembangkang untuk memohon bantuan dan terhutang budi kepada parti kerajaan pula.

“Bersih 2.0 menggesa Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail dan lapan lagi ADUN pembangkang untuk menggesa kerajaan Persekutuan serta tujuh kerajaan negeri di Semenanjung di bawah pemerintahan parti mereka untuk menunjukkan kepimpinan melalui teladan dengan melayan pembangkang secara bermaruah dalam pengurusan DPK.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sembilan ADUN Selangor tidak diberikan peruntukan di bawah pakej rangsangan ekonomi yang diwujudkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menangani kesan wabak Covid-19.

Menerusi satu surat dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 23 Mac lalu kerajaan Selangor memutuskan peluasan penggunaan secara sementara bagi setiap program atau aktiviti mesra ditingkatkan daripada RM20,000 kepada RM30,000.

Bagaimanapun peruntukan itu disalurkan secara terus kepada akaun Pusat Khidmat Masyarakat semua ADUN kecuali sembilan ADUN termasuk ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini merupakan ADUN Bebas, Rizam Ismail (Sungai Air Tawar-BN), Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang-BN), Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong-BN) dan Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam-BN),

Turut tersenarai, Zakaria Hanafi (Semenyih-BN), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang-Pas), Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang-Bersatu) dan Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia-Bebas).

Rizam dipetik berkata, kerajaan Selangor dilihat mengamalkan sikap ‘double standard’ dalam pemberian bantuan berkenaan.

Bagaimanapun kerajaan Selangor menafikan pihaknya mempolitikkan isu peruntukan RM30,000 Pakej Rangsangan Selangor Prihatin untuk setiap DUN di negeri ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, Rizam keliru apabila menuduh kerajaan negeri bermain politik sempit dan menghalang peruntukan RM30,000 yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kepada sembilan DUN yang diwakili parti pembangkang.

Katanya, peruntukan berkenaan terpakai untuk semua 56 DUN di Selangor. Bagi kawasan pembangkang, peruntukan berkenaan akan diselaraskan oleh penyelaras DUN yang dilantik oleh kerajaan negeri atau penyelaras sementara dalam kalangan ahli Parlimen, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau ADUN yang berdekatan secara geografik dan lokaliti.