Sultan Selangor berkenan terima peruntukan RM56.4 juta

Peruntukan berkenaan diserahkan Mohd Nai'im (dua dari kanan) mewakili kerajaan Persekutuan kepada Sultan Selangor (tengah) di Istana Bukit Kayangan.
Peruntukan berkenaan diserahkan Mohd Nai'im (dua dari kanan) mewakili kerajaan Persekutuan kepada Sultan Selangor (tengah) di Istana Bukit Kayangan.
A
A
A

KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan berjumlah RM56.4 juta untuk pembayaran elaun kepada guru Kelas al-Quran dan Kelas Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal dan siak di negeri Selangor.

Peruntukan berkenaan diserahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar yang mewakili kerajaan persekutuan di Istana Bukit Kayangan di sini, untuk disalurkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Antara tetamu turut hadir termasuk Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusof; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim.

Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, kerajaan persekutuan memperuntukkan sejumlah RM968.7 juta pada tahun ini untuk diagihkan kepada negeri-negeri melalui Jakim bagi bayaran elaun tersebut.

Menurut Mohamad Munir, setiap negeri mempunyai peruntukan yang berbeza bergantung kepada jumlah imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA yang ada di dalam negeri-negeri berkenaan.

"Hal ini selari dengan peranan Jakim sebagai sebuah agensi pusat yang bertanggungjawab dalam menyelaraskan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

"Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa pihak Jakim mendapatkan peruntukan bayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA di seluruh Malaysia ini melalui peruntukan belanjawan tahunan Jakim.

"Ini yang menyebabkan kita dapati peruntukan belanjawan Jakim kelihatan tinggi atau banyak setiap tahun berbanding dengan saiz organisasi dan aktiviti Jakim," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu katanya, kerajaan memberikan peruntukan belanjawan besar kepada Jakim adalah berasas dan perlu difahami oleh masyarakat bahawa tidak semua peruntukan tersebut diguna pakai oleh Jakim sahaja.

Beliau menjelaskan, sebahagiannya diagihkan untuk bayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA di negeri-negeri dan perkembangan serta pembangunan agama Islam di seluruh negara.

Menurutnya, pada masa-masa yang lepas, kaedah penyampaian peruntukan bayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA kepada negeri-negeri disampaikan kepada Menteri Besar negeri-negeri masing-masing.

"Bagaimanapun, apabila Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) diambil alih raja memerintah, Jakim menyelaraskan penyampaian peruntukan elaun melalui sultan atau raja negeri selaku Ketua Agama Islam untuk disalurkan kepada Jabatan Agama Islam negeri yang berkenaan.

"Adalah diharapkan kaedah terbaru ini dapat melancarkan penyerahan peruntukan elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA tanpa dipolitikkan dan dapat meredakan kekeliruan rakyat terhadap perkara tersebut," katanya.