'Jika nak peruntukan, pembangkang kena runding dengan Anwar'

Mohammad Agus
Mohammad Agus
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak pembangkang perlu datang berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Anwar Ibrahim sekiranya mahukan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff berkata, Ahli Parlimen Tambun itu berulang kali menyatakan kesediaan untuk memberikan peruntukan sekiranya pemimpin pembangkang berbincang dengannya.

Menurut beliau, Perikatan Nasional (PN) perlu menghentikan serangan ke atas Anwar dan Kerajaan Perpaduan sebaliknya menjalinkan hubungan baik bagi membolehkan federalisme berjalan lancar.

“Itulah (berunding) yang dilakukan oleh Anwar sewaktu beliau menjadi ketua pembangkang, beliau datang berunding dengan Perdana Menteri waktu itu. Hasilnya termeterailah Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.

“Tindakan Anwar adalah contoh pembangkang yang konstruktif, ada agenda baik yang dibawa seperti transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya menanti apakah pembangkang di bawah Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempunyai agenda konstruktif ini? Ayuh, berani dan berjiwa besarlah untuk membentuk satu kerjasama dwipartisan seperti yang dibuat oleh Anwar dahulu,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Selain itu, menurut beliau, meskipun Anwar telah memperkenalkan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat pada setiap Selasa, namun pemimpin utama pembangkang sentiasa tidak kelihatan.

Bagaimanapun katanya, apabila kerajaan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di enam negeri termasuk negeri pembangkang, terdapat pihak menuduh Anwar menjalankan kempen politik.

“Kempen politik apa jika majlis raya adalah untuk bersama rakyat dan makan bersama rakyat? Yang berkempen ialah parti pembangkang yang banyak mengkritik majlis rumah terbuka ini,” ujarnya.

Mohammad Agus tidak menafikan bahawa Kerajaan Perpaduan masih terdapat banyak kekurangan, namun Anwar mendengar dan berusaha keras untuk mempercepatkan reformasi yang dijanjikannya.

“Bersabarlah. Anwar dan kerajaan perpaduan ini baharu sahaja lima bulan memerintah. Nilai kejayaan Anwar dan kerajaan perpaduan ini dengan mata hati. Lihat kepada media yang lebih bebas, gejala rasuah yang sudah dapat dibendung, pemborosan yang dapat dijimatkan, ekonomi yang lebih baik dan sebagainya.

“Saya semakin optimis. Saya mengharapkan sangat reformasi dapat disegerakan dan Malaysia Madani akan terlaksana baik dan saya sendiri rela diri menjadi benteng untuk kejayaan ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau yang genap tiga bulan bertugas sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada Selasa mengakui sukar menjalankan tugasan apabila pemimpin pembangkang berterusan memainkan sentimen agama dan kaum selain menyerang Perdana Menteri dengan tuduhan tidak berasas.

Mohammad Agus berkata, serangan emosi perlu dihentikan kerana diyakini bahawa Langkah Sheraton untuk menjatuhkan kerajaan tidak akan berulang lagi.

Jelasnya, ini kerana kerajaan ketika ini telah kukuh dengan majoriti yang ada dan rakyat hanya mendambakan kestabilan kerana sudah bosan dengan politik pembangkang.

“Sakan benci dan marahnya sesetengah orang pada Anwar, timbul gosip mahu menjatuhkan Anwar sebagai Perdana Menteri atas alasan rakyat sudah bosan dengan beliau.

"Siapa yang bosan dan kenapa bosan saya tidak tahu, tetapi itulah yang selalu diratibkan oleh pihak yang tidak menyokong Anwar,” ujarnya.