Pegawai kanan tentera didakwa terima suapan RM34,500 lindung aktiviti seludup

Seorang pegawai kanan tentera tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat untuk didakwa atas pertuduhan menerima suapan. Foto Bernama
Seorang pegawai kanan tentera tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat untuk didakwa atas pertuduhan menerima suapan. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menerima suapan RM34,500 sebagai upah tidak melaporkan aktiviti penyeludupan barangan dari negara jiran, Julai lepas.

Pegawai berusia 53 tahun itu didakwa sebagai Ketua Cawangan Rancang dan Kempen Gerak Saraf Perang Saraf, Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia menerima suapan tersebut melalui dua individu sebagai upah tidak melaporkan aktiviti penyeludupan di Kota Tinggi, Johor yang sepatutnya dilaporkan mengikut tugasannya.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Dua, Chan Sow Lin di sini pada Julai 2025 dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam, Datuk Geethan Ram Vincent memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM6,000 atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik dan tidak pernah gagal melaporkan diri kepada SPRM sepanjang siasatan.

"Tertuduh masih perlu menjalankan tugas seperti biasa dan memerlukan pasport untuk membolehkannya ke luar negara. Saya memohon pihak media tidak mendedahkan nama tertuduh berikutan kedudukannya sebagai pegawai risikan pertahanan terlibat dalam operasi sensitif,” katanya.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan berkaitan nama itu dan menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai.

"Mahkamah tidak menahan pasport tertuduh tetapi dia perlu membuat laporan secara bertulis kepada mahkamah setiap kali perlu bertugas ke luar negara,” katanya.

Beliau menetapkan 2 Disember untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan RM34,500 untuk tidak melaporkan aktiviti penyeludupan
  • Pegawai tersebut berumur 53 tahun dan bertugas sebagai Ketua Cawangan Rancang dan Kempen Gerak Saraf Perang Saraf di Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia
  • Kesalahan dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Dua, Chan Sow Lin pada bulan Julai
  • Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009
  • Hakim menetapkan jaminan RM12,000 dengan syarat tertuduh melapor diri ke SPRM setiap bulan dan tidak menahan pasport tetapi memerlukan laporan bertulis untuk perjalanan ke luar negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!