Sindiket seludup 200 beras putih import di sempadan tumpas

Beras dalam guni dijumpai dalam penyimpanan barangan lori. Foto PPM Wilayah Tiga
Beras dalam guni dijumpai dalam penyimpanan barangan lori. Foto PPM Wilayah Tiga
A
A
A

TUMPAT – Cubaan sindiket menyeludup 200 guni beras putih import melalui laluan sempadan di Kelantan berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga dengan menahan tiga lelaki di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu di sini pada Ahad.

Serbuan hasil risikan jam 9 malam itu dilakukan anggota yang sedang menjalankan rondaan di kawasan Sungai Golok.

Pemangku Komander PPM Wilayah Tiga, Deputi Superintenden Muhamad Keny Anyie Abdullah berkata, pihaknya mengesan pergerakan sebuah kenderaan lori mencurigakan dari kawasan Bendang Pok Yong menghala ke Chabang Empat.

“Pasukan serbuan bertindak mengekori lori itu sebelum menahannya di bahu jalan Kampung Kebakat.

Muhamad Keny Foto PPM Wilayah Tiga
Muhamad Keny Foto PPM Wilayah Tiga

“Pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa muatan beras putih import tanpa dokumen sah dan tiga lelaki berusia antara 16 hingga 44 tahun ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 kerana memiliki dan mengawal padi atau beras tanpa sebab munasabah.

“Dua daripada tiga suspek yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.

Artikel Berkaitan:

“Beras putih keseluruhan 10 tan itu dirampas bersama sebuah lori dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM290,000,” katanya.

Kes dirujuk kepada Bahagian Kawalselia Padi dan Beras, Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Beliau memberitahu, kejayaan berkenaan merupakan kes ketiga melibatkan penyeludupan beras putih import yang direkodkan oleh Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor bagi tahun ini.

“Bagi suku pertama tahun ini sahaja, sebanyak 27 tan beras putih import berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.1 juta,” katanya.

Ringkasan AI

  • Cubaan menyeludup 200 guni beras putih import dipatahkan di Kelantan
  • Tiga lelaki ditahan bersama muatan beras tanpa dokumen sah
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994
  • Dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah
  • Rampasan beras dan lori bernilai RM290,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!