Op Sohor: JSJN siasat pegawai ATM disyaki tokan dadah

KUALA LUMPUR - Pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket penyeludupan disyaki turut terlibat sebagai dalang pengedaran dadah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, difahamkan terdapat rampasan dadah dalam kes terbabit.
"Mereka ini dalang sebagai tokan dadah. Saya dimaklumkan dadah itu banyak (rampasan), mereka juga pengedar.
"Tindakan juga telah diambil Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)," katanya ketika ditanya pemberita berhubung antara peranan pegawai ATM terbabit.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM di sini pada Khamis.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.
Sementara itu, Hussein berkata, JSJN menemui pelbagai jenis dadah iaitu serbuk MDMA, kanabis, ketamin, cecair MDMA dan ekstasi seberat kira-kira 1.3 kilogram bernilai RM30,000.
Katanya, seorang pegawai ATM serta tiga orang awam termasuk dua wanita asing telah ditahan.
"Kes masih dalam siasatan untuk tindakan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sebelum ini, Op Sohor yang dijalankan SPRM pada Rabu berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang dipercayai didalangi pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air.
Operasi dari Bahagian Perisikan dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) telah menahan lima pegawai kanan tentera berpangkat Leftenan Kolonel dan Kapten selain lima orang awam berusia lingkungan 30 sehingga 50-an di sekitar Lembah Klang bermula jam 6.30 pagi.
Siasatan awal mendapati lima dan dua bekas pegawai yang menjadi suspek utama disyaki telah membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket.
Barang larangan diseludup masuk seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia yang kesemuanya membabitkan jumlah kira-kira RM5 juta sebulan.
Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata tiruan turut ditemukan di premis-premis serbuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
