10 individu, 14 syarikat disiasat SPRM terlibat sindiket seludup rokok

PUTRAJAYA – Seramai 10 individu dan 14 syarikat disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut yang mengakibatkan kerugian hasil negara melebihi RM250 juta sejak tahun 2020.
Menurut sumber, sindiket berkenaan dikesan menggunakan taktik pengisytiharan palsu (misdeclaration) ketika proses import dengan menukar kod kastam dan butiran barangan.
Jelas sumber itu, barangan seludup berkenaan kemudiannya disimpan di gudang persendirian sebelum diagihkan ke pasaran.
“Berdasarkan siasatan awal, kegiatan ini dipercayai turut dilindungi segelintir penguat kuasa yang memberi laluan mudah di pintu masuk negara, selain melindungi operasi gudang serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan.
“Bayaran kepada penguat kuasa berkenaan dipercayai dibuat secara tetap melalui wang tunai atau orang tengah bagi mengaburi jejak kewangan,” katanya pada Khamis.
Sumber turut mendedahkan sindiket itu dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan dalam Op Sohor pada 14 Ogos lalu, sekali gus menunjukkan rangkaian perlindungan yang lebih luas.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan pihaknya akan meneruskan siasatan secara menyeluruh dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
“SPRM akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau syarikat yang terbabit kerana kegiatan ini bukan sahaja menjejaskan integriti sistem kawalan negara malah menyebabkan ketirisan hasil negara,” katanya.
Pada Selasa lalu, Bahagian Operasi Khas SPRM bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Op Sikaro di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang dan Johor.
Susulan operasi itu, SPRM membekukan akaun bank milik individu dan syarikat bernilai kira-kira RM218 juta selain sedang mengesan aset lain yang dipercayai diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
