Kawasan hutan di Bio Desaru seluas 28 hektar terbakar

A
A
A

KOTA TINGGI – Selepas kebakaran tanah gambut di Taman Bayu Damai, Pengerang, kawasan hutan Bio Desaru berhampiran Jalan Tanjung Balau–Sedili seluas 28 hektar pula dilaporkan terbakar sejak Sabtu lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB) Soleh Nasir berkata, setakat ini pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran melibatkan 16 hektar atau 57 peratus daripada keseluruhan kawasan terjejas.

Menurutnya, usaha tersebut berjaya dilaksanakan selepas pihak bomba menggunakan teknik kawalan ‘fire break’ atau laluan pemisah kebakaran bagi menghalang kebakaran daripada terus merebak.

“Bilik kawalan BBP Bandar Penawar menerima panggilan daripada penyewa tapak Bio Desaru pada 31 Januari lalu yang memaklumkan berlaku kebakaran.

“Ketika tiba di lokasi, didapati kebakaran benar-benar berlaku dan dianggarkan telah melibatkan kawasan seluas kira-kira 12 hektar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, teknik ‘fire break’ dilakukan di penghujung kawasan kebakaran iaitu di sempadan dengan hutan Lok Heng dengan menggunakan dua aliran, empat pancutan serta pam, menggunakan sumber air terbuka dari saliran parit.

Katanya, kerja-kerja pemadaman diteruskan sehingga malam sejak hari pertama operasi, namun berdepan kesukaran akibat angin kencang dan sumber air yang terhad.

“Keadaan itu menyebabkan api merebak dengan cepat dan kawalan ‘fire break’ dikekalkan bagi mengelakkan kebakaran memasuki kawasan hutan Felda Lok Heng,” katanya lagi.

Menurutnya, operasi hari kedua pada Ahad diteruskan dan kebakaran terus merebak dalam kawasan Bio Desaru sahaja, dengan anggaran keluasan mencecah 20 hektar.

Artikel Berkaitan:

“Bantuan jentera backhoe digunakan untuk mendalamkan parit supaya takungan air bertambah dan tidak mengganggu operasi pemadaman.

“Pada hari kedua operasi, pemantauan menggunakan dron dilakukan dan didapati api dapat dikawal dalam kawasan Bio Desaru, manakala kebakaran merebak hanya mengikut arah angin,” katanya.

Tambah beliau, hasil pemantauan lanjut mendapati terdapat kawasan kebakaran yang bukan kategori tanah gambut telah terpadam, manakala asap tebal hanya dikesan di sebahagian kawasan tanah gambut dan tunggul kayu yang masih terbakar.

Beliau berkata, operasi hari ketiga diteruskan dengan kekuatan 12 anggota yang melibatkan kerja-kerja pemadaman bagi menghalang kebakaran daripada terus merebak.

“Pemadaman menggunakan teknik ‘fire break’ berjaya ditingkatkan daripada 16 hektar kepada 24 hektar.

“Pemantauan udara menggunakan dron mendapati api semakin berkurangan, namun asap masih banyak berikutan terdapat kawasan yang mempunyai tunggul kayu terbakar serta tanah gambut seluas kira-kira 10 ekar,” katanya.

Menurutnya lagi, pemantauan berterusan dilakukan memandangkan lokasi kebakaran hanya kira-kira lima kilometer dari kawasan Felda Lok Heng bagi mengelakkan api merebak.

Setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan asap yang sampai ke kawasan penempatan penduduk.

“Banyak kawasan di tengah kawasan terjejas telah terpadam dengan sendirinya. Operasi hari ini masih diteruskan dan keadaan angin dilaporkan masih kuat setakat ini,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Kebakaran tanah gambut di Bio Desaru melibatkan 28 hektar kawasan hutan
  • Pihak bomba berjaya memadamkan 16 hektar atau 57 peratus daripada keseluruhan kawasan kebakaran
  • Teknik 'fire break' digunakan bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak
  • Kekurangan sumber air dan angin kuat menyukarkan usaha pemadaman
  • Operasi pemadaman melibatkan pemantauan melalui drone dan penggunaan backhoe untuk mendalamkan parit

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!