Ismanira menangis ketika peguam rayu ‘petik’ nama adik bongsu Zayn Rayyan

PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menangis di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, ketika sesi mitigasi peguam untuk mengurangkan hukuman dalam bentuk denda sahaja, tanpa pemenjaraan selepas dia didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
Ini memaksa mentua, Hasni Zakaria, 56, yang juga ibu kepada Zaim Ikhwan Zahari, 30, menghulurkan tisu bagi meredakan kesedihan, Ismanira Abdul Manaf.
Esakan Ismanira, 30, semakin kencang apabila peguamnya, Haresh Mahadevan mula menyentuh perkembangan kesihatan anak kedua yang kini dijaga oleh keluarga saudaranya di Rembau, Negeri Sembilan.
Haresh berkata, perintah hak jagaan sementara di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu, telah dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam pada 16 Mei lalu.
Susulan itu beliau berkata, jika tertuduh dikenakan hukuman penjara, hanya akan menambahkan kesedihan kepada kanak-kanak berkenaan termasuk menjejaskan kesihatan adik bongsu Zayn Rayyan itu, yang kini mencecah usia enam tahun.
“Dia merupakan seorang kanak-kanak istimewa yang menghidap autisme, sama seperti abangnya Zayn Rayyan.
“Akibat kes ini, Ismanira hanya diberi kebenaran untuk bertemu tidak lebih 48 jam dalam masa seminggu.
“Sebelum ini, anak kedua itu menangis ketika diambil oleh JKM dan berpaut pada Ismanira kerana tidak mahu masuk ke kereta ketika dibawa ke lokasi lain,” katanya.
Justeru beliau berkata, jika berpisah, kanak-kanak terbabit boleh mengalami kemurungan lebih-lebih lagi kepada pesakit autisme yang kurang memahami situasi yang berlaku apatah lagi mengawal emosi.
Secara lazim, bagi kes-kes seumpamanya, hukuman penjara bukan mandatori dan mahkamah membenarkan hukuman denda.
Selain itu beliau berkata, anak kedua tertuduh juga masih memerlukan kasih sayang Ismanira selaku seorang ibu.
“Jika Ismanira dikenakan perintah hukuman penjara, maka satu-satunya anak pasangan tersebut akan kehilangan kasih sayang seorang ibu selama dia dipenjarakan.
“Doktor juga memberitahu kanak-kanak berkenaan berisiko mengalami kemurungan yang berterusan dalam tempoh yang lama,” katanya.
Hujahan berkenaan dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dengan menyatakan pengabaian yang dilakukan tertuduh akhirnya membawa kepada kematian Zayn Rayyan.
Justeru katanya, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman pemenjaraan kepada tertuduh agar menjadi mesej kepada orang lain supaya mengutamakan penjagaan kepada anak terutama membabitkan anak-anak yang Istimewa.
“Jika dilihat peruntukkan hukuman ini, seksyen ini membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
“Termasuk hukuman tambahan khidmat masyarakat dan bon sebagai jaminan untuk berkelakuan baik bagi tempoh yang difikirkan perlu oleh mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, walaupun terdapat peruntukan denda namun ia tidak bersesuaian untuk dijatuhkan bagi kes ini.
Pada Jumaat, Ismanira disabitkan bersalah atas satu kes pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati ibu kepada dua cahaya mata itu gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.
Ringkasan AI
- Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menangis di Mahkamah Sesyen kerana didapati bersalah mengabaikan anak autisnya Tertuduh menangis apabila peguam menyentuh perkembangan kesihatan anak keduanya yang juga autis dan dijaga oleh keluarga saudaranya Ibu mentuanya menghulurkan tisu untuk menenangkan tertuduh Peguam memohon hukuman denda sahaja untuk tidak memburukkan keadaan anak bongsu yang juga autis Anak guamnya hanya dibenarkan bertemu anaknya kurang dari 48 jam seminggu selepas kes ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

