Kes Zayn Rayyan: Ismanira tenang ditemani suami

PETALING JAYA – Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf, kelihatan tenang ketika hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini pada Jumaat.
Ismanira, 30, ditemani suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, turut berusia 30 tahun, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.40 pagi sebelum disapa para petugas media yang telah berkumpul sejak awal pagi bagi mengikuti prosiding.
Terdahulu, pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan suaminya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Seramai 28 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan terhadap kedua-dua tertuduh dalam perbicaraan yang berlangsung dari 3 Februari hingga 24 April lalu.
Pada 21 Julai, mahkamah membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Namun, mahkamah memerintahkan Ismanira, selaku tertuduh kedua, untuk membela diri atas pertuduhan yang dihadapi.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Ringkasan AI
- Ismanira Abdul Manaf hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bersama suaminya Zaim Ikhwan Zahari
- Ismanira dan suaminya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka pada 13 Jun tahun lalu
- Pasangan itu dihadapkan dengan pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal
- Seramai 28 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan
- Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia pada 6 Disember 2023 di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

