Ismanira tidak abai Zayn Rayyan - Peguam

PETALING JAYA – Perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak autism, Zayn Rayyan Abdul Matin di Mahkamah Sesyen di sini dikhuatiri dipengaruhi oleh pandangan dan spekulasi orang awam, seperti mana berlaku dalam prosiding kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Pembelaan kepada ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata demikian dalam hujahan bertulis yang difailkan pada 18 September lalu.
Susulan itu, peguam yang mewakili ibu kepada dua anak itu, memohon mahkamah berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan naratif sedemikian.
Sedangkan beliau berkata, keputusan hanya boleh dibuat berasaskan keterangan yang sah serta diterima masuk di mahkamah dan bukannya mengikut sentimen orang awam.
Berdasarkan dokumen hujahan, beliau berkata, Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli yang juga saksi pembelaan kelima (SD5) memberitahu Ismanira tidak mengabaikan anaknya seperti yang didakwa.
“Saksi turut menjelaskan, penilaian terhadap elemen pengabaian tidak boleh dibuat berdasarkan satu aspek sahaja, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh melibatkan keadaan sebelum, semasa dan selepas kejadian.
“Keadaan tersebut tidak menunjukkan tertuduh mengabaikan anaknya yang juga mangsa dalam kes berkenaan.
“Jika ada penglibatan pihak ketiga yang menyebabkan kematian Zayn Rayyan, tertuduh tidak boleh dianggap sebagai individu yang mengabaikan anaknya,” katanya.
Beliau turut menolak tafsiran bahawa Zayn Rayyanh diabaikan hanya kerana berjalan di belakang ibunya, tetapi menjelaskan bahawa perkara itu merupakan rutin harian, dan ibu berkenaan tetap memantau anaknya melalui bunyi tapak kaki.
Katanya, perkara itu disokong oleh keterangan tertuduh sendiri yang menjelaskan bahawa dia telah mencari anaknya di setiap tingkat, blok, kedai dan sekolah, serta memaklumkan kehilangan itu melalui kumpulan di aplikasi WhatsApp penduduk.
“Perbuatan itu menunjukkan tertuduh tidak boleh dikategorikan sebagai mengabaikan anak,” katanya sambil menambah bahawa tindakan-tindakan tersebut tidak pernah disoal balas oleh pihak pendakwaan.
Pembelaan menegaskan bahawa keseluruhan keterangan saksi-saksi termasuk bapa mentua tertuduh, Zahari Mohd Reba (SD2), Zahayu Mohd Yusof (SD3) dan Umi Shafiqah Rohizal (SD4), adalah konsisten serta disokong oleh pendapat pakar bahawa perbuatan Ismanira tidak menjurus kepada pengabaian.
Semasa memberi keterangan membela diri, beliau berkata, lenggok percakapan serta tubuh badan anak guamnya tidak menampakkan dia cuba mereka atau menyelindungkan sebarang fakta.
Katanya, pembelaan Ismanira bukannya suatu rekaan atau pemikiran terkemudian seterusnya berupaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan.
Menerusi perbualan menggunakan WhatsApp antara tertuduh dan suaminya, terdapat mesej yang berbunyi “lantak la nak hidup ke nak mati”, namun perkara berkenaan telah dijelaskan oleh anak guam sendiri.
Menurutnya, tertuduh tidak bermaksud untuk merujuk kepada mangsa sebaliknya diri sendiri kerana kejadian yang berlaku menyebabkan tertuduh cemas, kelam-kabut dan sedih.
Tertuduh juga katanya, memerlukan kehadiran suami ketika mencari keberadaan anak sulung tersebut, dengan harapan suami akan pulang dengan segera untuk mencari mangsa.
Justeru, beliau berkata, penjelasan anak guam perlu diterima oleh mahkamah kerana pihak pendakwaan sendiri tidak pernah menyoal balas fakta terbabit sekali gus menjadikannya sebagai isu yang tidak dipertikaikan.
“Selain itu, fakta bahawa arwah masih hidup pada jam 5.30 petang dan 7.30 malam, 5 Disember 2023 menerusi suara yang didengar di kawasan rumah, telah disahkan oleh dua saksi pendakwaan (SP).
“Mereka ialah SP17, pengasuh mangsa, Auni Afiaqah, serta SP4, bekas pegawai penyiasat kes berkenaan, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin.
“Bagaimanapun, semasa soal semula, SP28, pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Hafizee Ismail telah memberikan keterangan bahawa siasatan mendapati suara tersebut bukan milik Zayn Rayyan,” katanya.
Sedangkan beliau berkata, keterangan sedemikian menimbulkan persoalan asas mengenai bentuk serta skop siasatan yang dijalankan oleh saksi berkenaan.
Katanya, wujud isu sama ada siasatan telah dijalankan dan asas yang digunakan oleh saksi untuk mencapai kesimpulan berkenaan.
Beliau berkata, tanpa asas yang jelas atau tidak diberi peluang untuk mencabar perkara tersebut, menjadikannya sebagai keterangan yang tidak wajar diambil kira oleh mahkamah.
Selepas 28 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan, Hakim, Dr Syahliza Warnoh menetapkan keputusan di akhir kes tersebut dijalankan pada 31 Oktober ini.
Dalam kes terbabit, Ismanira diwakili peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Ringkasan AI
- Perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin dikhuatiri dipengaruhi oleh pandangan orang awam
- Pembelaan memohon mahkamah tidak terpengaruh dengan naratif orang awam dan keputusan harus berasaskan keterangan sah
- Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli sebagai saksi pembelaan, membantah dakwaan pengabaian oleh ibu Zayn Rayyan
- Saksi pembelaan memberi keterangan yang konsisten menyokong pembelaan bahawa tindakan Ismanira tidak menjurus kepada pengabaian
- Keputusan akhir kes pengabaian Zayn Rayyan ditetapkan pada 31 Oktober, di mana Ismanira didakwa mengabaikan anaknya yang menyebabkan kecederaan fizikal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

