PPS dibuka, tempatkan 310 mangsa kebakaran di Tawau

TAWAU - Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau di sini pada jam 5 petang Isnin bagi menempatkan mangsa kebakaran melibatkan 40 rumah di Kampung Titingan pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said berkata, susulan kejadian itu, Tawau diisytiharkan sebagai kawasan bencana kebakaran.
"Pengisytiharan ini dibuat berdasarkan laporan serta maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi berkaitan dalam JPBD," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, setakat ini seramai 310 mangsa membabitkan 70 ketua rumah direkodkan terjejas akibat kebakaran berkenaan.
Menurut kenyataan itu, mangsa terdiri daripada 104 lelaki, 102 wanita, 50 kanak-kanak lelaki dan 54 kanak-kanak perempuan, dengan jumlah mangsa ini dijangka meningkat.
Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau melaporkan kira-kira 40 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, di sini, manakala punca kejadian masih dalam siasatan. - Bernama
Ringkasan AI
- Pusat pemindahan sementara dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau untuk mangsa kebakaran di Kampung Titingan
- Tawau diisytiharkan sebagai kawasan bencana kebakaran
- Pengisytiharan bencana dibuat berdasarkan laporan dan maklumat daripada agensi berkaitan
- Seramai 310 mangsa membabitkan 70 ketua rumah terjejas akibat kebakaran
- Kira-kira 40 rumah musnah dalam kebakaran dan punca masih dalam siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
