Rumah runtuh akibat arus deras banjir

BUKIT GANTANG - Seorang warga emas di Kampung Matang Pasir di sini berdepan detik pilu apabila rumahnya runtuh selepas dihentam arus deras banjir dalam kejadian awal pagi Khamis lalu.
Mangsa, Jamaludin Mat Jenin, 70, tidak menyangka banjir kali ini membawa bencana besar memandangkan sebelum ini kawasan tersebut tidak pernah dilanda kejadian seburuk itu.
Menurutnya, mujurlah semasa kejadian, dia tiada di rumah kerana tidur di kediaman anak perempuannya yang terletak berhampiran.
“Dalam jam 3 pagi, saya dengar bunyi benda meletup, tak lama lepas itu anak saya maklumkan yang rumah dah roboh.
“Anak saya panggil untuk tengok, tetapi saya tak sampai hati nak tengok," katanya sebak ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Menurutnya, walaupun kampung itu sering dinaiki air setiap kali hujan lebat, namun kali ini arus terlalu deras sehingga menyebabkan sebahagian besar rumahnya roboh dan rosak teruk.
“Selalu banjir tak jadi macam ni. Air kali ni deras sangat... saya tak sempat nak selamatkan barang apa pun.
“Semua habis, dapur, televisyen, barang dalam rumah semua rosak dan retak. Mujur tersangkut pada timbunan pasir, kalau tidak mungkin hanyut terus,” katanya.
Beliau berharap, kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat menyalurkan bantuan segera bagi membina semula kediaman yang musnah.
"Kalau boleh biarlah ada rumah baharu untuk berteduh. Barang semua dah tak ada, tak apa... yang penting ada tempat tinggal," katanya.
Adik Jamaludin, Mohamad Saad Mat Jenin, 67, turut berdepan nasib sama apabila rumahnya runtuh di bahagian dapur selepas dihentam arus deras.
Katanya, banjir mula melanda sekitar jam 9 malam, namun keadaan menjadi genting menjelang 3 pagi apabila paras air naik mendadak sehingga memasuki rumah.
"Dalam rumah semua habis, perabot, peti ais, semua rosak. Dinding retak, lantai pun pecah sekeping-sekeping.
"Kali ni memang paling teruk seumur hidup saya," katanya yang kelihatan sugul memerhati timbunan kayu dan serpihan rumahnya.
Ringkasan AI
- Rumah seorang warga emas di Kampung Matang Pasir runtuh disebabkan banjir
- Mangsa, Jamaludin Mat Jenin, 70 tahun, tidak berada di rumah ketika kejadian
- Arus banjir kali ini lebih deras dari biasa, menyebabkan kerugian besar
- Jamaludin berharap kerajaan negeri dapat membantu membina semula kediamannya
- Adik Jamaludin, Mohamad Saad, juga mengalami nasib yang sama dengan rumahnya rosak teruk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

