Hasil laut merosot hingga 50 peratus, nelayan rayu siasat penerokaan paya bakau

PARIT BUNTAR - Kira-kira 500 nelayan di kawasan Sungai Betul Bawah dan Sungai Air Hujan, Tanjung Piandang, di sini berdepan kemerosotan hasil tangkapan laut sehingga 50 peratus sejak tujuh tahun lalu.
Keadaan itu dipercayai berpunca daripada aktiviti penerokaan hutan paya bakau bagi tujuan pembinaan kolam ternakan udang.
Menurut wakil nelayan tempatan, Ramli Md Yusof, 65, yang sudah lebih empat dekad bergantung hidup sebagai nelayan, aktiviti penerokaan itu bukan sahaja menjejaskan ekosistem semula jadi tetapi turut mengancam sumber rezeki mereka.
"Dulu kalau turun ke laut boleh dapat sampai 20 kilogram udang sehari, tetapi sekarang nak dapat tiga kilogram pun susah. Air laut pun sudah bercampur dengan air kumbahan dari kolam.
"Dalam paya bakau dulu banyak hidupan seperti siput dan ketam, tetapi sekarang semua tak ada. Kawasan yang dulunya kita masuk cari hasil dah jadi milik pengusaha kolam,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Jeti Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, di sini pada Jumaat.
Ramli berkata, komuniti nelayan sudah beberapa kali membuat bantahan kepada pihak berwajib, termasuk pada Oktober 2022, namun tiada tindakan tegas diambil walaupun aktiviti pembuangan sisa ke laut didakwa dilakukan secara terbuka.
"Mereka guna gelung buang ke saliran dan terus masuk ke laut, semua pengusaha buat cara yang sama. Kami dah minta pihak berkuasa datang tengok sendiri," katanya.
Seorang lagi wakil nelayan, Ahmad Kamil Dahalan, 65, bimbang nasib nelayan di kawasan itu akan menjadi seperti di Sungai Baru, Kuala Kurau yang kini berdepan masalah hakisan pantai serius.
"Di sana ban dah mula runtuh sebab hakisan. Kami tak mahu jadi macam itu," katanya.
Beliau yang juga Penolong Bendahari Persatuan Pendidikan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) berkata, ketika ini hasil laut terutama ketam nipah telah berkurangan.
"Kalau dulu pasang sepuluh bubu boleh dapat berbelas ekor, sekarang nak dapat seekor pun susah,” ujarnya.
Ahmad Kamil turut menegaskan keperluan kerajaan dan agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memantau semula aktiviti penerokaan di kawasan berkenaan.
Mengikut peraturan JPS, mesti ada zon penampan sekurang-kurangnya 20 meter dari pesisir pantai, tetapi sekarang ini tinggal dalam dua depa (3.7 meter) sahaja," katanya.
Sementara itu, Pegawai Luar Bandar Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Yusuf berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada nelayan tempatan berhubung kemusnahan kawasan hutan paya bakau sekitar Sungai Betul Bawah dan Sungai Air Hujan sejak tujuh tahun lalu.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati kira-kira 80 hektar hutan paya bakau telah diteroka, menyebabkan habitat semula jadi hidupan laut musnah dan hasil tangkapan nelayan merosot dengan ketara.
"Kami mendesak supaya kerajaan dan pihak berkuasa tempatan segera menyiasat sama ada projek ini diluluskan atau dijalankan tanpa kebenaran.
"Jika benar tidak mengikut syarat, tindakan tegas perlu diambil bagi membendung kemusnahan hutan paya bakau yang menjadi benteng semula jadi daripada hakisan," tegasnya.
Ringkasan AI
- Nelayan di Sungai Betul Bawah dan Sungai Air Hujan, Tanjung Piandang mengalami kemerosotan hasil tangkapan laut sehingga 50% sejak tujuh tahun lalu
- Penerokaan hutan paya bakau untuk kolam ternakan udang disalahkan atas penurunan hasil tangkapan nelayan
- Aktiviti penerokaan merosakkan ekosistem semula jadi dan mengancam sumber rezeki nelayan tempatan
- Nelayan telah membuat bantahan kepada pihak berwajib tetapi tiada tindakan tegas diambil terhadap pembuangan sisa ke laut
- Kira-kira 80 hektar hutan paya bakau telah diteroka menyebabkan habitat hidupan laut musnah dan hasil tangkapan nelayan merosot dengan ketara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

