Projek akuakultur bantu nelayan terjejas akibat tambak laut

JASIN – Kerajaan negeri mengenal pasti beberapa kawasan sesuai bagi pelaksanaan projek akuakultur khusus untuk membantu nelayan berdaftar yang terjejas akibat projek penambakan laut.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah itu sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan sumber pendapatan nelayan tidak terputus akibat kekurangan hasil tangkapan laut.
Menurutnya, bagi merealisasikan projek itu beberapa tanah kerajaan yang tidak digunakan akan diserahkan kepada persatuan nelayan supaya dapat diusahakan dan dimanfaatkan sebagai projek akuakultur.
Katanya, dianggarkan kira-kira 1,000 nelayan yang berdaftar di bawah tiga persatuan itu termasuk Persatuan Nelayan Melaka Barat, Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Selatan dan Persatuan Nelayan kawasan Jasin yang terjejas impak projek penambakan tersebut.
"Kita tidak boleh berdiam diri dan biarkan nelayan hilang punca rezeki.
"Jadi melalui program akuakultur seperti ini, walaupun mereka tidak turun ke laut, pendapatan tetap boleh dikekalkan sekitar RM3,000 sebulan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program pelepasan benih udang di Projek Ternakan Udang Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Fasa II, Kampung Sebatu, Sungai Rambai, di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata, projek ternakan tersebut merupakan antara usaha di bawah peruntukan Keterjaminan Makanan berjumlah RM21 juta yang diterima Melaka pada tahun ini menerusi program mengoptimumkan penggunaan tanah dengan kerjasama kerajaan negeri.

Ujar beliau, daripada jumlah itu sebanyak RM350,000 bagi pemerkasaan ternakan udang selain pembekalan benih dan makanan udang bagi enam kolam, empat unit 'submersible pump' serta sebuah traktor.
Kata beliau, projek melepaskan satu juta benih udang putih dijangka dapat dituai pada Januari depan sekali gus menghasilkan 18 tan metrik udang dengan anggaran jualan RM450,000.
"Di Melaka Barat, kita sudah ada lokasi berdekatan di jeti untuk dibangunkan, manakala di Jasin kita telah memulakannya dan mungkin akan menambah kolam jika ada peruntukan tambahan," katanya lagi
Beliau turut menegaskan hanya nelayan berdaftar di bawah Persatuan Nelayan layak menerima manfaat daripada program berkenaan.
"Saya menyeru semua nelayan yang belum berdaftar supaya berbuat demikian agar bantuan dapat disalurkan dengan lebih teratur," ujarnya.
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri mengenal pasti kawasan bagi projek akuakultur untuk bantu nelayan terjejas akibat penambakan laut
- Inisiatif ini bertujuan memastikan sumber pendapatan nelayan berdaftar tidak terputus
- Tanah kerajaan yang tidak digunakan akan diserahkan kepada persatuan nelayan untuk diusahakan sebagai projek akuakultur
- Kira-kira 1,000 nelayan di bawah tiga persatuan termasuk Persatuan Nelayan Melaka Barat, Kawasan Melaka Selatan dan Jasin terjejas
- Projek ternakan udang dijangka menghasilkan 18 tan meterik udang dengan anggaran jualan RM450,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

