Sumbangan peralatan perubatan disarankan ikut spesifikasi KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) menerima sumbangan peralatan perubatan daripada kerajaan China oleh Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) di Pharmaniaga hari ini. -Foto Bernama
Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) menerima sumbangan peralatan perubatan daripada kerajaan China oleh Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) di Pharmaniaga hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat korporat dan orang awam yang ingin menyalurkan sumbangan peralatan perubatan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) disarankan menyediakannya mengikut spesifikasi ditetapkan kementerian itu.

Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk Farshilla Emran berkata, ini kerana jika sumbangan peralatan perubatan tidak memenuhi kriteria itu, ia boleh mendedahkan warga kerja KKM kepada jangkitan virus Covid-19 yang melanda negara kini.

Memberi contoh penutup hidung dan mulut untuk kegunaan barisan hadapan KKM, beliau menjelaskan, ada pihak yang menyumbang dengan menyerahkan jenis dua lapisan sedangkan spesifikasi ditetapkan adalah jenis tiga lapisan.

“Disebabkan itu, mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan, dinasihatkan untuk guna saluran yang betul. Kami dan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain menerusi inisiatif Rangkaian Tindak Balas Bencana (GDRN) mewujudkan tabung sumbangan untuk menyediakan peralatan perubatan ini.

“Orang ramai atau syarikat tersenarai awam juga boleh menyalurkan sumbangan kepada tabung sama. Pharmaniaga selaku GLC yang dipilih untuk melaksanakan penyelarasan dan pemerolehan barangan itu akan membelinya mengikut spesifikasi ditetapkan KKM,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

GDRN diuruskan oleh Sekretariat Bersama diterajui oleh Yayasan Hasanah (di bawah Khazanah Nasional Bhd) serta Telekom Malaysia Berhad.

Selain itu katanya, sumbangan kepada tabung berkenaan juga akan digunakan untuk penyediaan bekalan makanan kepada warga kerja KKM yang bertungkus-lumus bekerja merawat pesakit yang dijangkiti virus Covid-19.

Sementara itu, mengenai langkah beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif sendiri untuk mencipta dan menghasilkan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan, beberapa pihak yang ditinjau Bernama berpendapat sampel yang dihasilkan perlu dibawa kepada pakar perubatan penyakit berjangkit terlebih dahulu untuk dianalisis.

Artikel Berkaitan:

Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, Datuk Dr Maheran Mustafa berkata, ini untuk memastikan kesesuaian bahan yang digunakan serta ketetapan ukuran bagi pelindung muka yang akan dihasilkan kelak.

"Dinasihatkan agar ia tidak dibuat dalam kuantiti yang banyak dahulu untuk mengelakkan pembaziran. Bawa dahulu beberapa sampel kepada pasukan kawalan infeksi atau unit kawalan penyakit berjangkit hospital untuk analisis keberkesanan dan kesesuaian," kata Dr Maheran yang juga Penasihat Kebangsaan Penyakit Berjangkit, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Alice Lau Kiong Yieng berkata, penilaian terhadap kesesuaian pelindung muka yang akan disumbangkan itu perlu diserahkan kepada pihak hospital yang lebih arif mengenai perkara itu.

Bagaimanapun ujarnya, inisiatif daripada masyarakat dan NGO itu merupakan sesuatu yang positif dalam usaha membantu menampung keperluan kekurangan bekalan PPE di semua pusat perubatan dan hospital.

"Sekarang ini hospital kekurangan pelindung muka, malah hospital di Sibu pun buat pelindung muka sendiri. Ia bukanlah yang standard tetapi lebih baik daripada tiada langsung. Semestinya kami memerlukan yang lebih sesuai,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan membekalkan penutup hidung dan mulut secepat mungkin untuk menampung kekurangan bekalan sedia ada.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Nazri Che Dom pula berkata, soal PPE untuk barisan hadapan termasuk pelindung muka bukan sesuatu yang boleh dibuat secara sambil lewa kerana ancaman virus yang sangat berbahaya dan boleh membawa maut.

Beliau berpendapat, masyarakat perlu terus bersuara dan berusaha agar semua petugas kesihatan mendapat PPE yang terbaik kerana ia merupakan keperluan asas yang harus ada mengikut skop tugas masing-masing. - Bernama