[VIDEO] Hukuman rotan harus dipertimbang dengan syarat ketat - PM

A
A
A

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan bahawa cadangan untuk membenarkan semula hukuman rotan di sekolah wajar dipertimbangkan, namun pelaksanaannya mesti tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat.

Menurut beliau, isu tersebut perlu diteliti dengan berhati-hati kerana meskipun terdapat permintaan agar hukuman rotan dikembalikan, pelaksanaannya mestilah berhemah dan dilakukan dalam kawalan rapi.

Selain itu, perbincangan mengenai isu rotan perlu mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan hak asasi manusia yang melihat hukuman fizikal sebagai satu bentuk penderaan terhadap kanak-kanak.

“Ada yang menyuarakan supaya rotan dikembalikan, tetapi dengan syarat-syarat ketat  bukan secara terbuka. Rotan mungkin hanya di tangan, bukan diberi kelonggaran sepenuhnya.

“Saya pernah menjadi guru dan saya ingat puluhan anak-anak murid saya pernah dirotan tetapi hanya di tangan dan tentunya tidak sehingga dianggap penderaan.

“Tetapi kita juga perlu ambil kira pandangan, contohnya daripada golongan hak asasi yang menganggap ia termasuk dalam kategori penderaan kanak-kanak. Jadi saya faham kontroversinya,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh RSN Rayer (PH–Jelutong) berhubung cadangan agar guru diberikan budi bicara untuk merotan murid bagi tujuan mendisiplinkan pelajar.

Tambah Anwar, ramai pendidik dan ibu bapa turut berpendapat bahawa hukuman rotan wajar dilaksanakan dengan peraturan tertentu bagi mengawal tingkah laku murid yang melanggar disiplin sekolah.

“Saya percaya ramai pendidik dan ibu bapa merasakan ada keperluan tetapi dengan syarat-syarat yang ketat. Ditugaskan kepada guru tertentu, dilakukan di bilik khas seperti bilik disiplin dan dengan jumlah maksimum rotan yang ditetapkan. Jadi ada peraturannya.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak fikir ibu bapa perlu terlalu bimbang kerana kenakalan anak-anak itu suatu perkara biasa. Bila mereka melanggar peraturan secara berlebihan, tentunya harus ada hukuman. Tetapi ini sekadar pandangan peribadi, bukan dasar kerajaan,” jelasnya.

Menurut beliau, sebarang keputusan berhubung pelaksanaan semula hukuman rotan perlu diperhalusi melalui libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan sebelum dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Saya percaya ia harus dipertimbangkan, diperhalusi dan melalui libat urus menyeluruh yang akan dikendalikan oleh Menteri Pendidikan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan. Saya hanya memberikan pandangan peribadi kerana saya tidak menganggap ia dalam kategori penderaan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengakui wujud perbezaan pandangan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang tegas menolak sebarang bentuk hukuman fizikal terhadap murid atas alasan ia boleh dianggap sebagai penderaan.

“Rakan-rakan di Suhakam memberikan pandangan yang agak keras dan menolak sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai penderaan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim berpendapat hukuman rotan di sekolah perlu dipertimbangkan dengan syarat ketat
  • Isu kembalinya hukuman rotan harus dilakukan dengan berhemah dan dalam kawalan
  • Pandangan daripada pertubuhan hak asasi manusia yang menolak hukuman fizikal sebagai penderaan harus diambil kira
  • Keputusan akhir tentang pelaksanaan hukuman rotan akan diperhalusi dan diputuskan oleh Kementerian Pendidikan
  • Wujud perbezaan pandangan antara Perdana Menteri dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang menolak hukuman fizikal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!