Hukuman rotan perlu digubal, penambahbaikan - Ahli akademik

KPM digesa semak semula peraturan rotan di sekolah agar lebih adil dan relevan, menekankan isu ketidakseimbangan antara pelajar lelaki dan perempuan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhamad Rozaimi)
KPM digesa semak semula peraturan rotan di sekolah agar lebih adil dan relevan, menekankan isu ketidakseimbangan antara pelajar lelaki dan perempuan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhamad Rozaimi)
A
A
A

SHAH ALAM – Peraturan berhubung hukuman rotan di sekolah perlu digubal semula dan diberi penambahbaikan agar selari dengan keperluan semasa serta lebih adil kepada semua pihak.

Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, walaupun hukuman rotan masih sah di sisi peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), namun pelaksanaannya sering menjadi pertikaian dalam masyarakat kerana dilihat tidak seimbang dan berat sebelah.

Menurut beliau, berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 yang dikeluarkan sekitar 20 tahun lalu, hukuman dera tidak dibenarkan terhadap pelajar perempuan tetapi boleh dikenakan ke atas pelajar lelaki (rotan).

Selain itu, ujarnya, hanya guru besar atau individu yang diberi kuasa sahaja dibenarkan melaksanakan hukuman tersebut dan pelaksanaannya di khalayak ramai seperti di dalam bilik darjah semasa proses pengajaran serta pembelajaran atau ketika perhimpunan adalah dilarang.

"Persoalan saya kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan bekas menteri pendidikan daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN): sesiapa yang meneliti peraturan KPM akan tahu bahawa hukuman rotan masih terpakai di sekolah hingga sekarang.

"Namun, kuasa merotan di sekolah ini terhad kepada golongan tertentu. Ini berlaku sejak puluhan tahun yang lalu. Saya melihat logik untuk masyarakat mempertikai peraturan ini dengan alasan terdapat unsur tidak adil dalam pelaksanaannya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Ujarnya, beliau masih mencari rasional di sebalik perbezaan antara pelajar lelaki dan perempuan dalam peraturan rotan yang ditetapkan oleh KPM itu.

Menurut beliau, sekiranya kebimbangan terhadap risiko kecederaan menjadi alasan utama, maka timbul persoalan mengapa pelajar lelaki masih dibenarkan dikenakan hukuman rotan.

"Atau adakah data semasa hanya menunjukkan pelajar lelaki sahaja yang melanggar peraturan? Merotan di khalayak ramai di hadapan kelas juga merupakan salah satu bentuk mendidik.

Artikel Berkaitan:

"Guru-guru kita sejak dahulu lagi melaksanakannya. Ia menjadi pengajaran agar pelajar lain tidak mengulangi kesalahan yang sama," katanya.

Tambah Muhamad Rozaimi, tindakan memukul yang tidak mencederakan ada disebutkan dalam hadis, namun para ulama hadis mensyarahkannya dalam rangka ta’dib, iaitu proses mendidik, bukannya mencederakan.

Beliau berkata, rotan adalah untuk tujuan mendidik, bukan disebabkan rasa geram dan amarah.

"Rotan tetap ada di sekolah. Daripada zaman dahulu lagi ia telah diamalkan. Sesetengah orang salah faham menganggap rotan sudah diharamkan di sekolah pada masa ini.

"Hukuman rotan terhadap murid hanya boleh dilaksanakan oleh guru besar atau guru yang diberikan kuasa, tertakluk kepada garis panduan yang ketat seperti yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.

"Cuma zaman dahulu, ibu bapa kita tidak seperti ibu bapa generasi sekarang yang rajin membuat laporan terhadap guru yang mengambil tindakan terhadap murid-murid," ujarnya.

Menurutnya, sekiranya ibu bapa zaman dahulu bersikap manja dan celik undang-undang, barangkali ramai guru yang sudah dikenakan tindakan.

"Isteri saya juga seorang guru. Saya juga seorang pendidik yang mendidik bakal guru di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Saya juga memahami cabaran yang dihadapi oleh para guru ketika berinteraksi dengan pelajar terutama pada zaman ini.

"Apa-apa pun, kita perlu akui bahawa proses mendidik ini bermula dari rumah. Sekolah merupakan tempat kedua anak-anak, manakala rumah merupakan tempat utama mereka bersama ibu bapa," katanya.

Ringkasan AI

  • Peraturan hukuman rotan di sekolah perlu digubal semula untuk lebih adil
  • Hukuman rotan masih sah di bawah peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia tetapi pelaksanaannya sering dipertikaikan
  • Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 7/2003 membenarkan hukuman rotan untuk pelajar lelaki tetapi tidak untuk perempuan
  • Hanya guru besar atau individu yang diberi kuasa boleh melaksanakan hukuman rotan, dan tidak boleh dilakukan di khalayak ramai
  • Memukul sebagai tindakan mendidik harus dilakukan tanpa mencederakan, berdasarkan proses ta'dib, bukan karena amarah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!