'Rotan bukan deraan tapi tarbiah' — GPMS

KOTA BHARU – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Malaysia menegaskan bahawa hukuman rotan merupakan bentuk tarbiah terbaik dalam membentuk sahsiah pelajar sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam dan bukan penderaan.
Pengerusi Tetap GPMS, Nik Saiful Adli Burhan berkata, dalam Islam, rotan bukan sekadar hukuman fizikal tetapi sebahagian daripada kaedah tarbiah yang dibenarkan oleh syarak.
“Rasulullah SAW bersabda bahawa anak-anak hendaklah diajar solat ketika berumur tujuh tahun, dan boleh dikenakan hukuman rotan pada usia sepuluh tahun jika masih enggan melakukannya.
“Ia sebagaimana hadis sahih riwayat Abu Daud, dan ini jelas menunjukkan bahawa hukuman rotan dibenarkan dalam Islam sebagai bentuk didikan bukan penderaan,” katanya.
Menurut beliau, rotan turut menjadi instrumen dalam membentuk disiplin dan akhlak.
Ujarnya, pada masa yang sama ia turut menjadi amaran keras supaya anak-anak tidak terus lalai dan cuai terhadap tanggungjawab.
Nik Saiful berkata, hukuman itu berperanan mengawal tingkah laku serta menanam rasa hormat terhadap guru, ibu bapa dan peraturan.
“Menolak rotan atas alasan ia memberi tekanan emosi merupakan satu kekeliruan yang bercanggah dengan prinsip pendidikan Islam. Islam menekankan keseimbangan antara kasih sayang dan ketegasan.
“Jika hanya kasih sayang ditonjolkan tanpa ketegasan, anak-anak akan membesar tanpa disiplin dan tidak mengenal batasan,” katanya.
Nik Saiful berkata, GPMS berharap Kementerian Pendidikan (KPM) mengembalikan semula hukuman itu dengan menjadikan Islam sebagai rujukan dan bukan berkiblatkan sistem pendidikan Barat.
“Tiada sistem pendidikan atau undang-undang yang dapat berfungsi tanpa hukuman. Dalam kehidupan bermasyarakat, hukuman seperti penjara, denda dan sebatan diwujudkan bagi mendidik dan mencegah kesalahan.
“Begitu juga dalam agama, ALLAH SWT menetapkan syurga sebagai ganjaran bagi kebaikan dan neraka sebagai balasan bagi kejahatan,” katanya.
Ringkasan AI
- GPMS Malaysia menegaskan hukuman rotan adalah bentuk tarbiah yang disyariatkan oleh Islam dan bukan penderaan
- Dalam Islam, rotan merupakan kaedah tarbiah yang dibenarkan syarak
- Hukuman rotan dibenarkan sebagai bentuk didikan, berlandaskan hadis sahih
- Rotan berperanan dalam membentuk disiplin dan akhlak serta mengawal tingkah laku
- GMPS mengharap Kementerian Pendidikan mengambalikan hukuman rotan dengan menjadikan Islam sebagai rujukan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

