RUU asing peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya: KRPPM-IGAR tegas perlu semak imbang lebih jelas

KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Integriti, Governan dan Antirasuah (KRPPM-IGAR) menegaskan keperluan mekanisme semak imbang yang lebih jelas berhubung Rang Undang-Undang (RUU) 5/2026 bagi memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Pengerusinya, Azli Yusof berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya prinsip pemisahan kuasa tersebut, namun berpandangan bahawa aspek pelantikan dan pemecatan Pendakwa Raya perlu melalui proses yang lebih telus serta melibatkan peranan Parlimen.
“Kami bercadang untuk merujuk dan menyuarakan pandangan ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang meneliti agenda reformasi institusi negara.
“Ia supaya pandangan mengenai keperluan mekanisme semak dan imbang di peringkat Parlimen ini dapat didengar serta dipertimbangkan dalam rang undang-undang tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Mesyuarat KRPPM-IGAR di Parlimen pada Rabu.
Azli berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan berhubung aspek mekanisme pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut beliau, KRPPM-IGAR berpandangan pelantikan jawatan tersebut wajar melalui proses yang lebih telus dan diperhalusi di peringkat Parlimen sebelum diangkat untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Kita melihat keperluan supaya pelantikan itu tidak hanya melalui proses sedia ada, tetapi turut melibatkan penelitian dan pertimbangan di peringkat Parlimen sebagai institusi yang mewakili rakyat,” katanya.
Mengulas berhubung pelantikannya sebagai Pengerusi KRPPM-IGAR, Azli berkata, beliau menerima amanah tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab dan komitmen untuk memastikan kumpulan berkenaan terus berfungsi secara berkesan.
Ujar Ahli Parlimen Shah Alam itu, pelantikan tersebut dibuat susulan penyandang terdahulu, Syed Ibrahim Syed Noh yang melepaskan jawatan selepas dilantik ke portfolio lain dalam pentadbiran kerajaan.
“Bagi saya, ini bukan satu keistimewaan, sebaliknya satu tanggungjawab besar untuk memastikan KRPPM-IGAR dapat terus berjalan sebagaimana yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“Dalam perbincangan, kami tidak berpihak kepada mana-mana parti, sebaliknya menumpukan kepada kepentingan negara dan rakyat.
“Apabila semua pihak dapat bergabung dalam satu jawatankuasa yang memikirkan kepentingan negara, saya percaya hasilnya akan lebih menyeluruh dan berkesan,” kata beliau.
Ringkasan AI
- KRPPM-IGAR menekankan keperluan mekanisme semak dan imbang yang jelas untuk pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya
- Pelantikan dan pemecatan Pendakwa Raya harus melalui proses yang telus dan melibatkan Parlimen
- Pandangan tersebut akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk pertimbangan
- Perbincangan juga meliputi mekanisme pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang lebih telus dan melibatkan Parlimen
- Azli Yusof berkomitmen memastikan KRPPM-IGAR berfungsi efektif setelah menggantikan Syed Ibrahim Syed Noh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

