Antara rotan, maruah dan rasa hati guru

Dulu, rotan bukan simbol kekejaman tetapi lambang ketegasan seorang ayah dan ibu dalam mendidik anak-anak. - Gambar hiasan
Dulu, rotan bukan simbol kekejaman tetapi lambang ketegasan seorang ayah dan ibu dalam mendidik anak-anak. - Gambar hiasan
A
A
A

ISU hukuman rotan di sekolah kembali menjadi perbualan hangat selepas beberapa insiden tular melibatkan guru yang didakwa mencederakan pelajar ketika mendisiplinkan mereka.

Dalam satu kes baru-baru ini, seorang guru di sebuah sekolah menengah disiasat kerana menegur pelajar yang bertindak biadab di dalam kelas.

Tindakan teguran itu, yang pada awalnya bersifat mendidik, akhirnya bertukar menjadi bahan sensasi di media sosial seolah-olah guru kini tidak lagi punya hak untuk menegur apatah lagi merotan.

Tahukah anda, polemik ini bukan sekadar soal rotan atau tidak tetapi ia membabitkan kehilangan kepercayaan terhadap peranan guru.

Dahulu, rotan di tangan guru dianggap sebagai tanda kasih sayang dan tanggungjawab, bukan untuk menyakiti tetapi ia cara mendidik.

Namun hari ini, sebatang rotan dilihat sebagai lambang kekerasan, malah boleh mengundang tindakan undang-undang.

Akibatnya, ramai guru memilih untuk berdiam diri. Mereka tidak lagi berani bertindak berikutan bimbang setiap tindakan menjadi tajuk berita negatif.

Kita tidak menafikan bahawa ada segelintir guru yang mungkin tersilap pendekatan. Tetapi menghukum semua atas kesilapan segelintir adalah tidak adil.

Dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh membiarkan pelajar bebas tanpa disiplin.

Artikel Berkaitan:

Jika rotan diharamkan sepenuhnya, apakah alternatif yang benar-benar berkesan untuk membentuk sahsiah dan tanggungjawab murid?

Guru kini terhimpit antara menjaga disiplin dan menjaga periuk nasi. Mereka mahu mendidik tetapi terlalu banyak mata memerhati dan menilai dari luar pagar sekolah.

Sudah tiba masanya masyarakat dan pihak berkuasa menilai semula garis sempadan antara mendidik dan menghukum.

Rotan bukan simbol keganasan. Dalam tangan yang berilmu, ia menjadi alat mendidik, dalam hati yang marah, ia jadi senjata menyakitkan.

Bezanya terletak pada niat dan hikmah.

Maka sebelum kita menghakimi guru, elok kita tanya pada diri sendiri masih adakah hormat pada insan yang pernah mengajar makna adab dan ilmu?

Jangan mudah untuk menuding jari jika keputusan hari ini jadi hukuman di masa depan!

Ringkasan AI

  • Isu hukuman rotan di sekolah menjadi perbualan hangat selepas insiden tular melibatkan guru yang didakwa mencederakan pelajar
  • Rotan di tangan guru dahulu dianggap sebagai tanda kasih sayang dan tanggungjawab, bukan untuk menyakiti
  • Hari ini, sebatang rotan dilihat sebagai lambang kekerasan dan boleh mengundang tindakan undang-undang
  • Ramai guru memilih untuk berdiam diri, bimbang tindakan mereka menjadi tajuk berita negatif
  • Perlu diadakan penilaian semula garis sempadan antara mendidik dan menghukum, mempertimbangkan alternatif berkesan untuk disiplin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!