'Siasat Ketua Pesuruhjaya SPRM, bukan Rafizi' - Hassan Karim

Hassan ketika membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Hassan ketika membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan dakwaan 'mafia korporat'.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, fokus siasatan sepatutnya tumpu kepada Azam memandangkan terdapat laporan dan dokumen mengenai kes berkenaan.

“Yang perlu disiasat dalam hal ini ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM sebab ada kes, bukti dan dokumen, bukannya (siasat) Ahli Parlimen Pandan (Rafizi Ramli). Itu salah.

“Itu (satu bentuk) intimidasi atau ugutan, tidak boleh seperti itu. Kalau jumpa di rumah selamat Ahli Parlimen Pandan ada banyak jongkong emas, duit beribu ringgit, beg mahal, cincin permata atau loket, itu cerita lain tetapi tidak ada.

“Hanya ada satu atau dua aduan sahaja (tetapi) terus cepat bertindak,” katanya ketika membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Hassan berkata, kenyataannya bukan bertujuan untuk membela sesiapa, sebaliknya bagi mempertahankan sistem keadilan di negara ini.

Menurutnya, meskipun, terdapat jawatankuasa khas yang bertanggungjawab mengendalikan isu berkenaan namun, usaha tersebut dilihat masih belum mencukupi.

“Bukan kerana beliau (Rafizi) sahabat atau kenalan saya. Tetapi biar keadilan ini nampak jangan menjadikan SPRM sebagai alat.

“Saya harap kerajaan dengar tuntutan rakyat termasuk ahli Parlimen supaya bentuk RCI. Kalau boleh lantik ketua hakim negara yang telah bersara dan berintegriti.

Artikel Berkaitan:

“Siasatlah laporan Bloomberg mengenai dakwaan mafia korporat dan juga isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan disaran menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki
  • Fokus siasatan sepatutnya tumpu kepada Azam Baki kerana terdapat bukti dan dokumen
  • Siasatan terhadap Rafizi Ramli dikritik kerana dianggap bentuk ugutan atau intimidasi
  • Hassan Abdul Karim mempertahankan sistem keadilan dan bukan membela individu tertentu
  • Kerajaan diminta mendengar tuntutan rakyat untuk membentuk RCI yang diketuai oleh ketua hakim negara yang telah bersara dan berintegriti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!