Mak, ayah jangan takut rotan anak!

'Sayangkan anak, tangan-tangankan!'
Pepatah lama ini bukan sekadar bahasa orang dulu-dulu, tetapi falsafah hidup yang penuh hikmah.
Ia bukan ajakan untuk bersikap zalim, sebaliknya peringatan agar kasih sayang tidak membutakan kewarasan dalam mendidik anak.
Hari ini, pepatah itu semakin asing. Ramai ibu bapa lebih takut anak menangis daripada takut ‘anak rosak’. Anak dibiarkan bermaharajalela di rumah, dimanjakan atas nama kasih sayang. Pantang ditegur, ibu bapa pula yang melenting, kononnya anak mereka ‘masih kecil’.
Padahal dari usia kecillah nilai disiplin, hormat dan adab perlu disemai. Dulu, rotan bukan simbol kekejaman, tetapi lambang ketegasan seorang ayah dan ibu dalam mendidik anak-anak.
Jika anak buat salah, memang kena! Hasilnya, anak-anak zaman dahulu membesar dengan rasa hormat, tahu batas dan kenal erti salah.
Kini, keadaan jauh berbeza. Ramai anak-anak ‘jadi tuan’, hilang hormat kepada ibu bapa sendiri. Merak Jalanan tak pelik kalau kes disiplin di sekolah pun semakin meningkat.
Kes buli, pergaduhan, malah yang lebih memalukan, kes rogol bergilir-gilir berlaku di dalam kelas.
Kita sering menyalahkan guru dan sekolah, sedangkan akar masalahnya bermula di rumah.
Rumah yang sepatutnya menjadi ‘madrasah’ pertama kini tidak lagi berfungsi sebagai tempat membentuk jiwa dan adab.
Kerana pendidikan sebenar bermula dari rumah. Kasih sayang bukan bererti mengikut segala kehendak mereka, tetapi ‘membetulkan’ mereka dari tersasar jauh.
Mak, ayah janganlah terlalu takut untuk menegur atau merotan anak.
Teguran dan rotan hari ini mungkin membuat anak menangis, namun lebih baik mereka menangis sekarang daripada kita yang menangis di kemudian hari!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
