Lima huffaz UPSI jadi imam di tiga negara sepanjang Ramadan

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama negara apabila lima pelajarnya terpilih menjadi imam sempena Program Qari in Residence sepanjang Ramadan tahun ini di United Kingdom, Australia dan Singapura.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pemilihan wakil universiti itu di institusi Islam luar negara sepanjang bulan Ramadan membuktikan keupayaan UPSI melahirkan graduan serta warga institusi yang mendapat pengiktirafan global terhadap kualiti pendidikan tahfiznya.
Menurutnya, pelajar Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Adib Farhan Baharudin, terpilih menjadi imam di Oxford Centre for Islamic Studies, United Kingdom.
"Saya berasa terharu apabila pelajar UPSI diberi peluang berkhidmat sebagai imam di institusi berprestij luar negara.
"Ini satu penghormatan luar biasa dan peluang untuk memantapkan lagi keperibadian sebagai pelajar tahfiz,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Md Amin berkata, program yang berlangsung dari 16 Februari hingga 21 Mac itu bukan sahaja membanggakan UPSI, malah memperlihatkan potensi besar institusi pendidikan tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu al-Quran di peringkat global.
Menurutnya, selain Adib Farhan, Ahmad Al Mustafa Mohd Azmi turut berkhidmat sebagai imam di Malaysian Hall Perth, Australia.
Sementara itu, Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Muhd Farhan Hakimi Khairul Aizam masing-masing berkhidmat di Masjid al-Ghufran, Singapura.
Turut diberi kepercayaan ialah Guru Tahfiz merangkap Penasihat Persatuan Tahfiz UPSI, Ah-Luqman Al-Hakim Che’ Zahari dari Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami FSK yang berkhidmat sebagai imam di Masjid Dar al-Iman dan Malaysian Hall Sydney, Australia.
Md Amin berkata, penglibatan pelajar dan pegawai UPSI di luar negara membuka ruang untuk mereka memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi serta kefahaman budaya masyarakat Islam antarabangsa.
“Ia selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menjadi duta ilmu, sahsiah dan nilai Islam,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan UPSI kini dalam proses pembinaan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan) yang bakal menjadi pusat kajian berkaitan isu pendidikan tahfiz di negara ini.
Institut yang sedang dibangunkan di atas tapak seluas 7.2 hektar di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City itu akan menggunakan kurikulum yang mengintegrasikan sistem pondok dan sistem pendidikan arus perdana.
Sementara itu, Pengarah i-Furqan, Prof Dr Abd Rahman Abd Ghani berkata, Program Qari in Residence merupakan platform strategik dalam mengetengahkan bakat serta kepakaran pelajar tahfiz UPSI di pentas global.
Menurut beliau, pemilihan wakil UPSI dibuat melalui proses saringan rapi melibatkan penilaian aspek hafazan, penguasaan qiraat, pencapaian akademik serta keperibadian calon.
"Program ini memberi ruang kepada peserta untuk mempraktikkan ilmu qiraat, tajwid dan pengurusan ibadah dalam konteks sebenar di luar negara, sekali gus memperkukuh keyakinan diri serta profesionalisme sebagai imam dan pendidik al-Quran.
"Kita berharap pengalaman ini akan memberi nilai tambah signifikan kepada pembangunan sahsiah dan kerjaya mereka pada masa hadapan,” katanya.
Ringkasan AI
- Universiti Pendidikan Sultan Idris menghantar lima pelajarnya menjadi imam di United Kingdom, Australia dan Singapura sempena Program Qari in Residence sepanjang Ramadan
- Pemilihan wakil UPSI menunjukkan pengiktirafan global terhadap kualiti pendidikan tahfiznya
- Adib Farhan Baharudin dari UPSI menjadi imam di Oxford Centre for Islamic Studies, United Kingdom
- Program ini menunjukkan potensi pendidikan tempatan dalam menyumbang ke peringkat global ilmu al-Quran
- UPSI dalam proses pembinaan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami yang akan mengintegrasikan sistem pondok dengan pendidikan arus perdana
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

